LEICESTER 0 MANCHESTER UNITED 2

Ole Gunnar Solskjaer seronok dapat membuktikan bahawa penilaian pengkritiknya adalah silap selepas Manchester United meraih tempat ketiga sekali gus mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL).


The Red Devils menundukkan Leicester City 2-0 pada hari terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan menafikan hajat lawan mereka untuk menyambar kedudukan empat teratas.

Pasukan kendalian Solskjaer itu telah menikmati penampilan yang baik sepanjang 2020 dalam misi sejak awal kempen, iaitu kemaraan ke pertandingan kelab elit Eropah itu.

Namun, pengurus itu tetap menaruh kepercayaan dan menggunakan sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium King Power itu untuk menutup mulut pengkritiknya.

"Anda bagaikan tidak mengharapkannya," katanya.

"Kesemua ramalan mengatakan kami akan menduduki tangga keenam atau ketujuh. Itu tidak mengapa."

Begitupun, Solskjaer mengakui United bakal berdepan cabaran yang lebih sukar musim depan memandangkan mereka harus bersaing dalam liga sambil berdepan pasukan terbaik di benua itu.

Dia menjelaskan: "Musim tahun depan dengan pembabitan dalam UCL dan bukannya Liga Europa, ia akan menjadi situasi yang berbeza. Kami ingin mendaki tangga liga, jadi kami tidak boleh hilang tumpuan terhadap liga dan merehatkan pemain dalam Liga Europa.



"Pemain akan berdepan tuntutan lebih tinggi. Mereka harus bekerja keras sepanjang musim panas. Kami akan mengharungi perlawanan peringkat Eropah, ia juga akan menjadi satu landasan.

"Musim depan akan lebih menguji dan mencabar buat mereka. Jika anda mewakili pasukan utama UCL, maka anda harus membiasakan diri terbabit dalam 45, 50 perlawanan dalam setiap musim jika ingin berjaya."




Keputusan itu bermakna Leicester tergelincir ke tangga kelima dan akan bersaing dalam Liga Europa di sebalik menghabiskan hampir keseluruhan musim ini dengan menguasai tempat kedua atau ketiga.

Bagaimanapun, pengurus The Foxes, Brendan Rodgers tetap bersemangat untuk berdepan kempen Liga Europa.

"Dengar sini, kami menduduki tempat kedua tertinggi dalam sejarah pembabitan Leicester dalam EPL," kata Rodgers.

"Ia membawa kami ke kancah Eropah.

"Saya benar-benar teruja mengenainya. Saya rasa ini adalah langkah seterusnya untuk pemain skuad ini. Kami mungkin sudah mencapai sasaran kami dengan lebih awal daripada yang kami fikirkan, anak buah saya telah menempuhi musim yang sangat baik.

"Kini ia membawa kami ke Eropah dan berpeluang menimba pengalaman - beraksi di tahap seperti itu, beraksi pada pertengahan minggu -- memperoleh pengalaman yang menjadikan anda lebih mantap.

"Pengalaman itu akan membantu skuad ini, jadi saya gembira dengannya. Kami berharap dapat menempuhi pengalaman hebat dalam (Liga Europa) juga."