Jose Mourinho mengesahkan Phil Jones akan kembali beraksi buat Manchester United dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur, malam ini.

Jones terpaksa dibawa keluar akibat kecederaan paha ketika Red Devils tewas 1-2 di tangan Huddersfield United pada hujung minggu lalu, selepas penggantinya, Victor Lindelof, dilihat bergelut untuk menampilkan aksi konsisten.

Bagaimanapun, pertahanan England itu berada di bangku simpanan sewaktu United menewaskan Swansea City 2-0 dalam saingan Piala Liga, Khamis lalu.

Sementara itu, Eric Bailly yang terlepas aksi bersama pasukan kendalian Mourinho selama hampir sebulan selepas kembali daripada aksi antarabangsa sebelum ini, mula menjalani latihan tetapi pengurus dari Portugal itu tidak pasti sama ada dia boleh diturunkan atau tidak.

"Jones kini sudah pulih.

"Dia berada di bangku simpanan ketika menentang Swansea dan dia sudah bersedia untuk bermain," kata Mourinho.

"Mengenai Bailly, dia akan menjalani satu lagi sesi latihan tetapi dia satu-satunya pemain dalam senarai kecederaan yang saya tunggu untuk beraksi bertemu Spurs."