Pemain sayap Everton, Nikola Vlasic, berkata pasukannya telah menyediakan jersi nombor 19 untuk menunggu kehadiran Diego Costa ketika jendela perpindahan, Jun lalu.

Everton dilaporkan telah berbelanja sebanyak GBP144 juta (RM808 juta) empat bulan lalu, namun masih gagal mencari pengganti kepada penyerang, Romelu Lukaku.

Antara pemain yang menyerlah adalah Vlasic, selepas beraksi dalam kesebelasan utama dalam empat aksi terakhir skuad Toffees termasuk ketika tunduk 1-2 di tangan Chelsea, awal pagi tadi.

Vlasic mendedahkan bahawa Everton tidak membenarkannya untuk menyarung jersi dengan nombor 19 ketika tiba di kelab pada penghujung musim perpindahan.

"Nombor 27 tiada pemilik, saya mahukan 8 tetapi Ross Barkley menggunakannya sementara pasukan menyimpan nombor 19 untuk Costa," kata Vlasic.

"Saya sedih dengan pemecatan Ronald Koeman kerana dia yang mendapatkan saya dan kami mempunyai hubungan yang baik tetapi inilah bola sepak.

"Everton adalah pasukan yang hebat untuk pemain muda seperti Jordan Pickford, Dominic Calvert-Lewin, Ademola Lookman, Tom Davies dan saya sendiri. Semua orang meraih peluang dan saya berpuas hati," kata Vlasic.

Dalam masa sama, Vlasic juga memuji aksi bintang Arsenal, Alexis Sanchez, selepas membantu Gunners menundukkan cabaran Everton 5-2.

"Saya tidak meraih banyak peluang untuk menentang pasukan besar tetapi amat teruja menyaksikan Alexis Sanchez. Mesut Ozil seorang pemain hebat, tetapi Sanchez jelas amat pantas, kuat, sentiasa mencipta peluang dalam semua pergerakan," katanya.