Nemanja Matic mahu setiap pemain Manchester United bertanggungjawab di atas kegagalan pasukan di bawah kendalian Jose Mourinho.

Mourinho dipecat minggu lalu selepas tewas 3-1 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.

Bekas penyerang United, Ole Gunnar Solskjaer, dilantik selaku pengurus sementara hingga penghujung musim ini dan The Red Devils merakamkan kemenangan 5-1 ke atas Cardiff City dalam aksi pertama kendalian pengurus kelahiran Norway itu.

Bagaimanapun, Matic beranggapan keputusan yang diraih hadir selepas pasukan menyedari bahawa mereka tidak lagi di bawah pimpinan Mourinho.

Ditanya mengenai tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap pemain ekoran pemecatan Mourinho, Matic berkata, "Semestinya. Saya telah bercakap selepas kami tewas kepada Liverpool bahawa pemain-pemain United bertanggungjawab dan perlu mempamerkan aksi yang lebih baik untuk memenangi perlawanan.

"Saya tidak tahu perubahan yang dilakukan ketika berdepan Cardiff. Ia adalah soalan yang tidak boleh dijawab oleh sesiapa tetapi kami mahu meneruskan persembahan ini.

"Setiap pemain menyedari setiap keputusan yang berlaku bukan hanya perlu dipertanggungjawab kepada pengurus pasukan.

"Kami akan terus melihat ke hadapan dan berjuang untuk kelab," katanya.

Aksi sulung di bawah bimbingan Solskjaer di Old Trafford akan berlangsung pada esok berdepan Huddersfield Town sebelum menerima kunjungan Bournemouth pada hujung minggu ini.