Daniel James dapat melihat petanda terhadap apa yang diinginkannya di atas padang, iaitu gandingan istimewa bersama pemain baru Manchester United, Bruno Fernandes.

Fernandes tiba di Old Trafford pada penghujung bulan lalu selepas saga berpanjangan dengan Sporting CP itu ditamatkan dengan perjanjian bernilai €80 juta (RM361.6 juta).

Pemain tengah itu mendapat pujian kerana memaparkan corak permainan positif ketika diturunkan sewaktu United terikat 0-0 dengan Wolves, 1 Februari lalu.

Ketika ini, skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu sedang berada di Sepanyol bagi memenuhi jadual waktu rehat pertengahan musim.

Pemain sayap, James, berasakan Fernandes sudah menyesuaikan diri dan percaya perlawanan dengan Wolves itu memberikan petanda bahawa mereka berpotensi untuk menjadi gandingan yang luar biasa.

"Dia sedang menyesuaikan diri dengan baik," katanya kepada laman web rasmi kelab itu mengenai Fernandes.

"Saya tahu beberapa pemain kami boleh bertutur dalam bahasanya tetapi bahasa Inggerisnya juga baik.

"Sebaik tiba di sini, dia menyerlahkan dirinya dalam perlawanan dan telah membuktikan apa yang boleh dilakukannya dalam perlawanan itu, dalam penampilan pertamanya.

"Dia amat hebat dengan cara kawalan bolanya.

"Bagi saya, jika kami dapat menyerasikan diri, terutama ketika bermain di bahagian bawah, saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang hebat," katanya.

United akan kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dengan menentang Chelsea, Isnin depan.

James berasakan pasukannya boleh memanfaatkan waktu rehat kali ini sebelum menghadapi jadual perlawanan yang lebih padat.

"Kami mendapat sedikit rehat dan amat baik untuk berlatih di sini, mendapatkan sedikit kecergasan dan kembali bertenaga.

"Ia memang amat bagus. Kem latihan di bawah cuaca panas sentiasa membantu dan akan memberikan faedah apabila kami pulang ke rumah.

"Ia jelas lebih panas berbanding di rumah kami.

"Ia amat bagus untuk beada di sini selama beberapa minggu dan ia pasti akan memanfaatkan kami," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa