Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, percaya laporan mengenai pertelingkahan di antara Paul Pogba dan Jose Mourinho kini terpaksa dilenyapkan.

Pogba menjadi kunci utama buat Les Bleus memenangi Piala Dunia 2018, menjaringkan salah satu gol dalam final ketika menewaskan Croatia 4-2 tetapi dia dilaporkan berbalah dengan pengurus United, Mourinho, sewaktu di peringkat awal musim ini.

Walaupun Pogba telah menyumbat empat gol dalam semua kejohanan musim ini, dia telah dilucutkan jawatan penolong kapten oleh Mourinho yang menafikan wujud perbalahan di antara mereka ketika sesi latihan sambil pemain tengah itu mendakwa dia disekat daripada memberi sebarang kenyataan selepas aksi berdepan Valencia minggu lalu berakhir tanpa jaringan.

Pogba, yang turut dinamakan dalam senarai pendek 30 pemain bagi anugerah Ballon d'Or semalam, kini bersama skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan berdepan Iceland serta perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Jerman dan Deschamps percaya laporan mengenai perselisihan di antara Mourinho dan Pogba telah sengaja dilebih-lebihkan.

"Saya rasa ia dilebih-lebihkan. Mungkin anda tidak menyaksikan perlawanan terakhir mereka kerana menghormati Pogba," kata Deschamps.

"Saya rasa Mourinho melihat perkara sama seperti saya. Sesetengah perkara berlaku dan seperti kebiasaannya, kita sendiri yang menjadikannya sama ada besar atau tidak.

"Benar, terdapat sesetengah fakta yang sebenar tetapi ada juga yang terus mencari kesimpulan. Apabila saya melihat Pogba cuba berhati-hati dengan kata-katanya, mungkin akan mengatakan bahawa dia telah melakukan segalanya untuk cuba bersedia daripada segi mental dan prestasi untuk membantu kelab.

"Tiada masalah dengan Pogba. Saya tidak mahu melibatkan diri dengan apa-apa dan mengganggu hubungan mana-mana pemain dengan jurulatih masing-masing."