Jose Mourinho mengesahkan Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba sekali lagi akan beraksi untuk Manchester United ketika menerima kunjungan Brighton and Hove Albion di Old Trafford, hari ini.

Gandingan itu kembali pulih daripada kecederaan selepas beraksi berdepan Newcastle United minggu lalu, dengan Ibrahimovic hadir ke dalam perlawanan sebagai pemain gantian manakala Pogba turun dalam kesebelasan utama dan menjaringkan gol tetapi mereka masih belum beraksi selama 90 minit.

Ibrahimovic dan Pogba bakal memainkan peranan penting untuk pasukan, namun Mourinho menyedari beliau perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

"Ibrahimovic masih belum bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Buat masa ini, kami memberikan masa kepadanya," kata Mourinho.

"Tetapi saya lebih mahu Ibrahimovic berada di atas padang.

"Dia merupakan seorang pilihan buat kami dan seorang pemain yang berkualiti. Ibrahimovic memiliki fizikal dan bijak mencari peluang.

"Tetapi dia memerlukan masa. Kami berjaya memberikan 15 atau 20 minit untuk kedua-dua perlawanan (bertemu Newcastle dan Basel). Kami berharap dia akan dapat diturunkan dalam perlawanan seterusnya.

"Kami perlu memastikan Pogba tidak beraksi hingga dia terlalu penat.

"Dia tidak boleh beraksi hingga minit ke-70 kerana ia akan menyebabkan kecederaannya kembali dan kami perlu melindung pemain-pemain yang penting buat United," katanya lagi.

Mourinho mengesahkan pertahanan, Phil Jones dan Eric Bailly, tidak dapat beraksi manakala Chris Smalling, Marcos Rojo dan Victor Lindelof bakal menjadi pilihan untuk diturunkan.