Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, menafikan Eden Hazard ditimpa kecederaan sewaktu The Blues menewaskan Brighton and Hove Albion 2-1, awal pagi tadi.

Hazard menyumbat satu gol dan membuka ruang untuk satu lagi jaringan dalam aksi Liga Perdana Inggeris itu tetapi terpaksa dibawa keluar selepas menerima terjahan keras Dale Stephens.

Namun, Sarri mengesahkan pertukaran itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan Chelsea bakal berdepan jadual padat dalam musim Krismas.

"Hazard dalam keadaan baik. Ia hanya satu hentakan," kata Sarri.

"Saya bercakap dengan doktor dan ia bukan satu masalah besar, mungkin memerlukan rehat sehari atau dua hari maksimum."

Seperti dalam aksi sebelum ini, Hazard digunakan selaku penggempur tengah oleh Sarri dan dia pantas memberikan impak di atas padang apabila membuka ruang untuk Pedro membuka tirai jaringan.

Dia kemudian meraih gol peribadi selepas sejam perlawanan, melepasi pertahanan Brighton sebelum tenang menyumbat gol tetapi Sarri menegaskan bintang Belgium itu masih boleh meningkat.

"Saya rasa dia akan menjadi sangat penting dalam posisi itu," tambah Sarri.

"Hazard sangat mudah untuk beraksi bersama rakan sepasukan serta mencipta ruang.

"Kini, saya rasa dalam posisi itu dia mampu meningkat dari dalam kotak penalti untuk menyerang."

Chelsea melepaskan beberapa peluang untuk menambah pendahuluan dalam babak kedua apabila Marcos Alonso menggegarkan palang sebelum Solly March memberi harapan buat Brighton.

Ia membuatkan Sarri percaya Chelsea menjadi rapuh apabila terlalu yakin.

"Saya rasa kami patut menang lebih besar kerana beraksi bagus dalam 60 minit," tambah Sarri.

"Kami melepaskan gol ketika menguasai perlawanan sepenuhnya. Chelsea patut mengesahkan kemenangan lebih besar.

"Saya rasa apabila berfikir kami mudah menguasai perlawanan, kami telah membahayakan diri sendiri.

"Secara tiba-tiba, perhatian dan pendekatan kami menurun. Apabila sangat yakin, kami fikir mudah untuk menguasai perlawanan, ia bahaya buat kami."