Polis Leicestershire mengesahkan mereka berhadapan dengan kejadian di luar Stadium King Power di sebalik laporan mengatakan sebuah helikopter milik pengerusi Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha, terhempas.

Insiden itu berlaku sejurus selepas The Foxes seri 1-1 dengan West Ham dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Helikopter milik Srivaddhanaprabha itu dilaporkan terbang seperti biasa dari tengah padang pada kira-kira jam 8.30 malam waktu tempatan tetapi ia menjunam di tempat letak kereta.

Menurut Polis Leicestershire di Twitter: "Kami berhadapan dengan kejadian di sekitar Stadium King Power. Perkhidmatan kecemasan sedang menguruskannya."

Jurucakap Leicester berkata: "Kami membantu Polis Leicestershire dan perkhidmatan kecemasan dalam menangani kejadian besar di Stadium King Power.

"Kelab akan mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci sebaik maklumat lebih lanjut didapati."

Ambulans East Midlands NHS Trust menggesa orang ramai supaya menjauhkan diri dari tempat kejadian.

"Kami menerima panggilan pada pukul 8.38 malam yang melaporkan kemalangan helikopter berhampiran Stadium King Power.

"Kami menghantar doktor, dua paramedik dalam kereta ambulans, kakitangan ambulans serta Pasukan Tindakan Kawasan Berbahaya, dengan sumber pertama tiba dalam masa dua minit selepas panggilan itu," umum mereka dalam satu kenyataan.

"Kami sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kami di Polis Leicestershire, Bomba dan Penyelamat Leicestershire di tempat kejadian.

"Kami menasihati orang ramai agar menjauhkan diri dari kawasan itu dalam usaha kami menangani kejadian ini."

Srivaddhanaprabha membeli Leicester pada bulan Ogos 2010 dan dinamakan sebagai pengerusi pada bulan Februari 2011. Pengusaha Thailand itu menyelia kejayaan Leicester dalam Liga Perdana pada 2016.