Bintang Chelsea, Eden Hazard, masih menyimpan hasrat untuk berpindah ke Real Madrid dan kini sedang di persimpangan sama ada menandatangani kontrak baru bersama The Blues atau tidak.

Hazard dilaporkan akan meninggalkan Stamford Bridge ketika jendela perpindahan Julai lalu selepas dia dikatakan mahu mencuba sesuatu yang baru.

Bagaimanapun, bintang Belgium itu kemudian menegaskan dia gembira untuk kekal dan terus menampilkan aksi cemerlang musim ini, dengan menyumbat gol kemenangan hebat ke atas Liverpool dalam saingan Piala Liga dan mendahului carta penjaring Liga Perdana Inggeris hasil daripada tujuh gol dalam lapan perlawanan.

Chelsea difahamkan ingin melanjutkan kontrak aset bernilai mereka itu memandangkan kontrak sedia ada bakal tamat pada 2020 tetapi Hazard berpendapat tawaran daripada gergasi LaLiga, Real Madrid, mungkin sesuatu yang sukar untuk ditolak.

Ditemui selepas Chelsea menundukkan Southampton 3-0 kelmarin, di mana Hazard menyumbat gol pembukaan, dia memberitahu wartawan: "Saya benar-benar dalam permainan, menampilkan permainan bola sepak yang bagus ketika ini.

"Real Madrid adalah kelab terbaik di dunia. Saya tidak boleh menipu tentangnya.

"Sudah menjadi impian saya sejak kecil. Saya hanya mengimpikan tentang kelab ini. Kita akan lihat.

"Saya tidak mahu bercakap tentang perkara ini setiap hari. Saya tidak mempunyai masa tetapi kita akan bercakap mengenai masa depan saya tidak lama lagi.

"Ia juga melibatkan impian anda dan mahu ia dilaksanakan.

"Seperti yang sering saya katakan, jika saya berpindah, saya akan gembira. Saya tahu jika saya kekal, saya tetap gembira. Ia tidak bermakna jika berhijrah, saya gembira tetapi jika kekal, sebaliknya.

"Kadangkala, saya bangun pagi dan memikirkan mahu berpindah. Ada juga waktu tertentu yang saya fikirkan untuk kekal. Ia satu keputusan sukar kerana melibatkan masa depan.

"Saya mahukan sesuatu yang baik untuk diri sendiri tetapi tetap inginkan yang terbaik buat kelab kerana Chelsea memberikan saya segalanya. Saya tidak mahu berkata, 'ya saya akan tandatangan kontrak baru' tetapi tidak melakukannya di kemudian hari. Jadi, saya akan lihat."

Hazard tercalon dalam senarai pendek bagi anugerah Ballon d'Or dan dia berharap dapat mengekalkan prestasi cemerlang di peringkat kelab tatkala mewakili Belgium minggu ini bagi saingan Liga Negara-Negara UEFA berdepan Switzerland, Jumaat ini.