Hart nikmati perpindahan ke Burnley

Oleh Staff Writer 8 Ogos 2018 377
Hart nikmati perpindahan ke Burnley
Joe Hart memuji persekitaran pasukan barunya, Burnley, selepas menyertai skuad bimbingan Sean Dyche itu, sekali gus menamatkan tempoh 12 tahun bersama Manchester City.

Hart, pemain yang mewakili England sebanyak 75 kali, memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama City tetapi gagal menjadi pilihan sejak ketibaan Pep Guardiola pada 2016.

Pemain berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun di Turf Moor di mana dia akan bersaing dengan dua rakan senegara, Tom Heaton dan Nick Pope.

Tatkala Pope kini terpaksa berehat selepas menjalani pembedahan bahu dan Heaton masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan betis, Hart dilihat bakal melakukan penampilan pertama dalam aksi Liga Europa di Istanbul Basaksehir esok.

Situasi itu membuatkan Hart tidak sabar untuk mula beraksi bersama Burnley selepas mengharungi dua musim dipinjamkan ke Torino dan West Ham United.

"Kini masa terbaik untuk saya meneruskan karier. City berkembang dengan baik dan saya gembira dengan mereka. Mereka perlu terus mara dan melakukan perkara yang baik untuk pasukan. Begitu juga saya," kata Hart.

"Saya berasa bagus. Saya yakin berada di tempat yang tepat dan ini adalah waktu terbaik untuk memulakannya. Saya tidak rasa ini merupakan satu pilihan.

"Terdapat kelompok penjaga gol yang bagus tetapi wujud ruang untuk saya dan saya yakin mampu melakukan sesuatu untuk membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Segala-galanya membuatkan saya kagum. Saya mendengar tentang persekitaran yang bagus di sini. Mereka menyifatkannya sebagai sesuatu yang terlalu hebat tetapi menjadi sebahagian daripada pasukan di mana mereka mengejar matlamat yang sama, pasti baik.

"Saya mendengar tentang situasi dalam pasukan dan apabila saya tiba pada hari pertama di sini, ia dapat dilihat. Semua orang bermain untuk satu sama lain, mahu menang dan melakukan apa yang terbaik."

Pope dilihat telah merebut tempat yang dimiliki Hart dalam skuad Piala Dunia England dan Heaton juga menerima panggilan skuad kebangsaan sejak menyertai Burnley, yang membuat pemenang empat kali Sarung Tangan Emas itu yakin perpindahannya itu mampu mengembalikan kariernya ke landasan sebenar.

"Saya mahu mendapatkan perpindahan secara tetap pada musim panas ini dan itu perancangannya. Saya terbuka dengan apa yang ada di depan mata dan ia kerana persekitaran di sini yang menggalakkannya.

"Ia adalah sesuatu yang membuat saya gembira. Heaton dan Pope telah meraih prestasi terbaik di sini dan saya mahu melakukan perkara sama.

"Anders Lindegaard dan Adz Lefzdins juga berada di sini dan kami menghormati antara satu sama lain, cuba mendapatkan aksi terbaik masing-masing untuk Burnley. Saya teruja dengan kelab ini sebagai satu pasukan dan yakin semua orang berfikir perkara sama.

"Tahun lalu adalah tahun yang hebat tetapi terdapat banyak faktor yang mendorong kepada kedudukan kelab pada musim lalu dan ia merupakan faktor untuk saya benar-benar berada dalam pasukan. Saya gembira berada di sini," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen