Jurgen Klopp berpandangan ia bakal menjadi salah satu hari terbaik dalam hidupnya apabila dia dan skuad Liverpool menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.

Hampir sebulan sejak Liverpool disahkan sebagai juara England buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, tetapi kelab perlu bersabar untuk persembahan pemberian trofi.

Walaupun sudah mengetahui harinya bakal tiba, dan telah meraikan kejayaan itu sesama mereka, Klopp memberikan jaminan tiada suasana anti-klimaks apabila dia dan barisan pemain menerima pingat kemenangan.

"Ia seperti Hari Krismas," kata Klopp.

"Kami masih teruja menanti hari pemberian trofi ini. Saya tidak pernah menyentuhnya sebelum ini. Ia akan menjadi saat yang istimewa.

"Saya sangat gembira buat pemain-pemain ketika ini, kerana mereka berhak untuk bergelar juara.

"Kami menjuarai liga musim ini tetapi telah membuat persiapan sejak dua atau tiga tahun yang lalu."

Chelsea bakal berkunjung ke Anfield untuk aksi terakhir Liverpool di laman sendiri musim ini, dengan skuad kendalian Frank Lampard itu mencari peluang untuk meraih kemenangan bagi memastikan slot ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.