Guardiola tumpu jumpa Crystal Palace

Oleh Shaiful Shamsudin 17 Januari 2021 305
 Guardiola tumpu jumpa Crystal Palace
Pep Guardiola tidak tertarik dengan keputusan di antara Liverpool menentang Manchester United kerana hanya mahu memberi tumpuan untuk mengalahkan Crystal Palace.

Manchester City akan menjadi tuan rumah kepada Palace dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok sambil juara bertahan, Liverpool akan menghadapi seteru ketat, United, membabitkan pertemuan di puncak liga.

Pengurus dari Sepanyol itu diminta pendapat mengenai ramalannya terhadap perlawanan di Anfield itu, tetapi dengan segera dia menjelaskan hanya ada satu perlawanan yang menjadi fokusnya.

"Crystal Palace," jawabnya. 

"Ini satu-satunya perkara yang saya idamkan -- saya mahu mengalahkan mereka. Selebihnya, secara jujurnya saya tidak peduli.

"Dalam dua musim terakhir ketika menentang Crystal Palace di tempat sendiri, kami hanya mampu meraih satu mata. Kami kalah dan seri. Persembahan kami di Selhurst Park jauh lebih baik daripada di Stadium Etihad.

"Itulah satu-satunya masalah yang saya hadapi -- untuk menang ke atas Crystal Palace.

"Kami akan beraksi sambil sudah mengetahui keputusannya (perlawanan membabitkan Liverpool-United) kerana mereka akan beraksi lebih awal daripada kami, tetapi saya tidak pasti."

 

Tiada pasukan yang mencatat lebih banyak kemenangan EPL musim ini berbanding City (lapan) dan mereka hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu merangkap musuh setempat mereka itu dengan baki satu perlawanan.

Biarpun pencabar mereka mula mempamerkan persembahan bermutu, Guardiola tidak khuatir dengan senario itu.

"Saya tidak membangkitkan hal itu kepada pemain," tambahnya. 

"Kami mempunyai keyakinan dan perlu positif untuk perlawanan seterusnya dengan mempamerkan prestasi bagaikan  perlawanan akhir.

"Saya tidak fikir pemain lebih optimis atau marah mahupun kecewa apabila orang menganggap kami bukan pencabar utama musim ini, atau mungkin United atau Liverpool sememangnnya lebih baik daripada kami.

"Ketika berdepan Brighton (kemenangan terakhir 1-0) kami menonjolkan persembahan yang menarik. Ketika kami tidak beraksi dengan baik, Brighton pula cemerlang.

"Sebaiknya kami membayangkan bahawa kami kini di posisi yang lebih baik. Untuk bersaing di puncak liga, kami ingin berada di kedudukan yang lebih baik dan apabila tidak beraksi dengan bagus, sudah pasti kami tidak akan mampu mencapainya."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen