Kylian Mbappe bukan sasaran perpindahan buat Manchester City dan pihak kelab tidak bercadang untuk melakukan sebarang pertukaran melibatkan Raheem Sterling, kata pengurus pasukan, Pep Guardiola.

Laporan minggu ini mengatakan City berminat membawa masuk Mbappe dari Paris Saint-Germain (PSG) sambil Sterling mungkin disertakan dalam perpindahan itu.

Bintang England itu masih belum memperbaharui kontrak yang bakal tamat pada 2020 sehingga mencetuskan spekulasi bahawa juara Liga Perdana Inggeris itu akan menjualnya.

Namun, Guardiola menolak dakwaan bahawa City akan berusaha untuk menghantar Sterling ke Paris sambil membawa masuk Mbappe ke Etihad.

"Mbappe tidak akan hadir ke sini," ujar Guardiola.

"City tidak akan berbelanja pada jumlah yang layak diterima PSG dan Mbappe dan saya rasa mereka juga tidak akan melepaskannya.

"Saya tidak faham dari mana datangnya khabar angin itu.

"Kami juga tidak akan menukar Sterling atau mana-mana pemain hebat kami.

"Orang ramai perlu lebih menghormati pemain-pemain saya serta tonggak pasukan lain," ujarnya.

Kekalahan mengejut di tangan Lyon dua minggu lalu menyaksikan City kini dalam keadaan tertekan menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah bertemu Hoffenheim.

City kini tewas dalam lima daripada enam aksi terakhir Liga Juara-Juara di bawah bimbingan Guardiola walaupun pengendali itu menjulang trofi tersebut dua kali sewaktu membimbing Barcelona.

Guardiola memandang serius akan aksi awal pagi esok menentang pasukan yang dibimbing oleh pengendali berusia 31 tahun, Julian Nagelsmann.

"Kami memiliki lima aksi final dalam peringkat kumpulan. Esok adalah final yang pertama," tambahnya.

"Seperti apa yang dikatakan oleh kapten, Vincent Kompany, ia adalah saingan peringkat tertinggi. Jadi, sukar untuk kami tetapi tetap mencuba. Saya rasa kami melangkah ke depan.

"Nagelsmann sangat muda dan Hoffenheim dilihat terus berkembang. Dia akan meraih banyak kejayaan dalam karier. Saya tidak sabar untuk berdepannya dan diharapkan ia bukan aksi terakhir buat kami."