NEWCASTLE UNITED 0 MANCHESTER CITY 1

Bos Manchester City, Pep Guardiola, berkata Newcastle United seperti tidak mahu bermain dalam kemenangan 1-0 pendahulu Liga Perdana Inggeris itu di St James' Park, awal pagi tadi.


Pelawat mendominasi perlawanan dengan hanya satu gol dijaringkan menerusi Raheem Sterling selepas 31 minit walaupun tiga kali percubaan City terkena palang.

Newcastle menawarkan beberapa ancaman pada hujung perlawanan tetapi sebaliknya perlu bertahan jauh ke dalam, di mana mereka hanya memiliki 22 peratus penguasaan.

Guardiola agak kurang berpuas hati tidak dapat memastikan kemenangan sebelum tuan rumah akhirnya memberi tekanan tetapi teruja pemainnya berjaya mencari jalan bertahan bagi menjamin kemenangan ke-18 berturut-turut.

"Kami melakukan segala-galanya tetapi sukar untuk beraksi apabila pasukan lawan tidak mahu bermain," katanya kepada BBC Sport.

"Pada minit-minit terakhir, kami bermain dalam irama mereka, dan bukan mudah kerana ia berakhir dengan 1-0. Kami mencipta peluang yang cukup untuk menang 2-0, 3-0, 4-0.

"Kami sentiasa perlu mengharapkan keadaan seperti ini dan ia tidak selalu mudah untuk mengekalkan tahap itu. Tetapi kami mempunyai lebih banyak mata, kami kini 15 mata di depan dan kami boleh memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya.

"Mana-mana pengurus boleh memutuskan apa yang dia mahu. Saya lebih suka cuba bermain tetapi saya banyak menghormati pihak lawan dan kami harus mencuba bagaimana untuk menyerang mereka," tambahnya.

Mengulas mengenai Sterling yang kini menjaringkan 13 gol dalam Liga Perdana musim ini, Guardiola berkata: "Raheem Sterling menjaringkan banyak gol dan bermain bagus, jadi kami gembira dengannya."