Pep Guardiola mahu Paul Pogba bermain dalam aksi musuh setempat Manchester di Old Trafford dan tidak percaya pemain tengah itu mahu terpalit dengan masalah kecederaan.

Peluang United untuk mengurangkan penggantungan Pogba selepas dilayangkan kad merah ketika meraih kemenangan ke atas Arsenal, dilihat sebagai satu usaha yang tidak berjaya, sekaligus merencatkan perancangan Jose Mourinho untuk bertemu pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), City, untuk aksi seterusnya.

Skuad bimbingan Guardiola itu mengembalikan kelebihan lapan mata ke atas United selepas meraih kemenangan 2-1 ketika bertemu West Ham semalam.

Penggantungan Pogba itu disambut baik oleh rata-rata penyokong City selepas pemain kebangsaan Perancis itu memberitahu BBC Football Focus dengan berharap pemain utama City akan mengalami kecederaan.

Bercakap selepas perlawanan bertemu West Ham, Guardiola terkejut dengan kata-kata tersebut.

"Benarkah Pogba berkata sedemikian? Kami berharap tidak mengalami sebarang kecederaan," kata Guardiola.

"Saya mahu Pogba dapat beraksi bertemu kami dan berdepan barisan terbaik kerana mahu melihat sama ada kami mampu menewaskan mereka atau sebaliknya.

"Saya hanya berasakan ia sekadar ungkapan. Saya pasti dia tidak mahu pemain lain mengalami kecederaan," katanya.

City akan bertemu Shakhtar Donetsk dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) pada Rabu ini.