Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak berasakan kekalahan semalam kepada Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) memaksa kelab itu menandatangani pemain baru.

Skuad City bimbingan Guardiola itu mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam EPL setelah tewas 1-0 kepada Southampton di St Mary's semalam.

Selepas mengalahkan juara yang baru dimahkotakan, Liverpool 4-0, City -- yang merehatkan Kevin De Bruyne dan yang lain -- memberikan gol pertama EPL buat Che Adams ketika mereka kini ketinggalan 23 mata di tempat kedua.

Bintang Napoli, Kalidou Koulibaly dan David Alaba dari Bayern Munich telah menjadi antara pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke City penghujung musim ini.

Tetapi ketika ditanya apakah kekalahan City berpunca mereka memerlukan pemain baru, Guardiola mengatakan kepada wartawan: "Tidak, saya rasa tidak.

"Saya berfikir kami bermain dengan baik, jujur. Kami bermain dengan watak dan keinginan untuk menang. Kami menentang Southampton yang mempunyai 10 pemain di kawasan penalti. Kami melakukannya dengan sangat baik.

"Kami akan menilai perlawanan ini dan dengan peluang yang kami miliki kami dapat melakukan lebih banyak.

"Saya sangat bangga, jadi saya menyukai cara kami bermain tetapi ia tidak mencukupi. Tidak ada keluhan mengenai pemain. Kami bermain dengan sangat baik, saya menyukainya tetapi tidak cukup untuk memenangi permainan."

Sementara itu, Guardiola tidak berasa penjaga gol City, Ederson harus disalahkan atas kekalahan itu kepada Southampton.

Adams menjaringkan satu-satunya gol permainan pada minit ke-16, memerangkap penjaga gol Brazil itu yang keluar daripada kedudukannya setelah Oleksandr Zinchenko kehilangan bola.

"Kami menggunakan penjaga gol kami untuk membina permainan kami. Kami menggunakan Ederson untuk untuk bermain lebih baik," kata Guardiola.