Manchester City mungkin kehilangan penyerang, Sergio Aguero, selama dua bulan pertama kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).

Aguero terlepas kemuncak kempen musim lalu termasuk kekalahan City 0-1 kepada Lyon dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas meniskusnya (otot di bahagian lutut) terkoyak ketika menang 5-0 ke atas Burnley, Jun lalu.

Pemain antarabangsa Argentina berusia 32 tahun itu mendapatkan pakar bedah, Dr Ramon Cugat, di Barcelona seperti yang disarankan pengurus City, Pep Guardiola.

Pada awalnya, masih ada harapan untuk Aguero memainkan peranan lebih-lebih lagi pemain itu menyiarkan rakamannya yang sedang menggelecek bola di pangkalan latihan City, Kampus Etihad, di media sosial minggu ini.

Begitupun, semalam nampaknya Guardiola terpaksa akur kehilangan penjaring terbanyak kelab itu untuk tempoh yang lebih lama menjelang pertemuan dengan Wolves yang mengalahkan The Citizens sebanyak dua kali musim lalu.



"Kami sedar kecederaan yang dihadapinya rumit," katanya.

"Dia sedang melakukan (pemulihan), mungkin dalam satu atau dua bulan lagi dia akan bersedia.

"Dua bulan lagi, dia harus kembali ke padang dan mendapatkan semula bentuk fizikal terbaiknya.

"Sergio sudah lama tersisih dan dia bukan seorang pemain yang mampu pulih dengan segera, jadi saya fikir dalam satu atau dua bulan lagi barulah dia akan bersedia."

Jangka masa yang digariskan oleh Guardiola itu bererti penggempur tersebut bakal terlepas tiga perlawanan pertama Liga Juara-Juara (UCL) musim ini termasuk kunjungan Liverpool ke Stadium Etihad pada 7 November depan.