CHELSEA 1 MANCHESTER UNITED 0

Jaringan tunggal daripada penyerang Sepanyol, Alvaro Morata, membolehkan Chelsea menundukkan pasukan di tangga kedua liga, Manchester United, 1-0 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.


Tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan ketika aksi bermula selama enam minit selepas Phil Jones tertampan bola ke dalam gawang sendiri.

Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan selepas pengadil , Anthony Taylor, mendakwa Alvaro Morata terlebih dahulu menolak pertahanan England itu.

Percubaan menerusi rembatan kaki kiri oleh Eden Hazard juga hampir meletakkan Chelsea di depan tetapi David De Gea tangkas menafikan percubaan tersebut sebelum tandukan susulan Cesc Fabregas sekadar tersasar ke sebelah kiri gol.

Walaupun menguasai hampir keseluruhan permainan, skuad kendalian Antonio Conte tetap tidak berjaya menembusi keampuhan benteng pelawat yang diterajui oleh Jones, Eric Bailly dan Chris Smalling.

Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan,Chelsea akhirnya meraih gol pertama menerusi Morata ketika separuh masa kedua berusia 10 minit.

Cesar Azpilicueta mengawal bola dari tengah padang sebelum bijak melakukan hantaran ke dalam kotak penalti dan Morata yang tidak dikawal menanduk bola masuk ke gawang ketika De Gea hanya terpaku melihat tuan rumah mencetak gol pendahuluan.

Red Devils hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-86, namun rembatan kaki kiri Marcus Rashford sedikit tersasar.

Pemain gantian, Marouane Fellaini, juga berpeluang untuk mengikat kedudukan tetapi Thibaut Courtois tangkas menyelamatkan percubaan pemain tengah Belgium itu.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga permainan tamat, membolehkan The Blues mengutip 22 mata dan berada di tangga keempat liga, sementara United kekal di tempat kedua di belakang pendahulu, Manchester City, berkongsi 23 mata dengan Tottenham Hotspur.