LIVERPOOL 1 NEWCASTLE UNITED 1

Newcastle United menjaringkan gol penyamaan dalam waktu kecederaan untuk menjauhkan diri daripada zon relegasi selepas mengikat Liverpool 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang memperlihatkan betapa Liverpool kendalian Jurgen Klopp banyak mensia-siakan peluang di depan gawang, gol Mohamed Salah pada minit ketiga kelihatan sudah mencukupi untuk pasukan juara bertahan itu kembali ke dalam kelompok empat teratas, yang juga merupakan tiket kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Namun, selepas jaringan penyamaan Callum Wilson dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) susulan insiden bola terkena tangan, The Magpies akhirnya berhasil menemui apa yang dihajati mereka menerusi gol Joe Willock pada minit ke-95.

Newcastle kini dibezakan sembilan mata daripada zon penyingkiran dengan keputusan terbaru itu kelihatan dapat memastikan mereka kekal dalam kelompok elit divisyen utama berkenaan.