Bekas pemain Manchester United, Ryan Giggs, percaya Marouane Fellaini telah membuktikan kebolehannya kepada pengurus, Jose Mourinho.

Fellaini tidaklah selalu popular di Old Trafford tetapi dia boleh memainkan peranan besar dalam pemburuan kejuaraan United dengan ketiadaan Paul Pogba yang mengalami kecederaan.

Giggs teruja dengan cara pemain tengah itu, yang telah menjaringkan tiga gol Liga Perdana musim ini, bangkit terhadap pengkritiknya.

"Fellaini benar-benar membuktikan dia pemain penting, melangkah masuk untuk menggantikan Pogba," kata Giggs kepada Sky Sports.

"Dia telah menjaringkan gol penting, seperti yang pernah dilakukannya di Everton, dan saya sangat gembira dengannya.

"Saya pernah bekerja dengannya dan dia seorang pemain yang hebat untuk dilatih kerana dia betul-betul melakukan apa yang anda mahu.

"Dia tidak membiarkan peminat mengganggunya kerana dia sentiasa mendapat sokongan daripada pemain dan jurulatih.

"Dia efektif, mengetahui kekuatan dan batasnya. Dia telah mendapat kepercayaan Jose dan telah membalasnya dengan beberapa gol penting," katanya lagi.