Giggs berminat dengan Everton, Leicester

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2017 1780
Giggs berminat dengan Everton, Leicester
Ryan Giggs mengisytiharkan bahawa dia menaruh minat terhadap kekosongan jawatan pengurus di Everton dan Leicester City.

Legenda Manchester United itu berkhidmat sebagai penolong Louis Van Gaal ketika pengurus Belanda berkenaan berada di Old Trafford, dan meninggalkan pasukan selepas Jose Mourinho mengambil alih pada 2016.

Bekas pemain antarabangsa Wales itu turut ditemuduga untuk kerja di Swansea City musim lalu. 

Dia hanya mengendalikan empat perlawanan ketika ditugaskan membimbing United selepas David Moyes meninggalkan pasukan pada 2014.

Everton memecat Ronald Koeman selepas tewas 5-2 kepada Arsenal di Goodison Park, kelmarin, yang membawa mereka di tangga ketiga tercorot -- ketinggalan satu mata di belakang Leicester.

"Bagi saya, ini adalah kelab yang saya minat," kata Giggs kepada Sky Sports.

"Lihat kepada kedua-dua pasukan ini, Leicester menjadi juara dua musim lalu, Everton adalah kelab hebat dengan sejarah yang hebat.

"Bagaimanapun, banyak jurulatih di luar sana yang akan berminat dengan jawatan tersebut," ujarnya.

Giggs berminat menjadi pelajar terbaru Alex Ferguson untuk menyertai bahagian pengurusan tetapi meskipun sasarannya tinggi, dia tidak semestinya mahukan tugas dalam Liga Perdana.

"Saya telah katakan bahawa saya akan terbuka kepada kelab yang mahu berkongsi cita-cita saya," katanya.

"Saya mahu memperbaiki kelab dan meningkatkan pemain, menikmati kerja dan menikmati cabaran.

"Terdapat tugas yang baik dalam Liga Perdana tetapi ada juga dalam Liga Kejuaraan dan Liga Satu.

"Bagi saya, ia lebih mengenai falsafah berbanding status kelab," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen