Eric Garcia terpaksa diusung keluar dari padang selepas berlanggar dengan rakan sepasukannya, Ederson, ketika Manchester City menewaskan Arsenal 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Penjaga gol City, Ederson, meluru keluar daripada kawasan penaltinya untuk menyelamatkan keadaan sebelum berlanggar dengan rakan sepasukannya itu, yang kelihatan seperti mengalami kecederaan di muka.

Pasukan kesihatan City kemudian bergegas untuk mendapatkkan Garcia yang tertiarap di atas padang di Stadium Etihad.

Pertahanan tengah berbangsa Sepanyol berusia 19 tahun itu akhirnya diusung keluar selepas beberapa minit perlawanan dihentikan dan kebanyakan pemain City kelihatan gusar dengan keadaan rakan mereka.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu mendahului 2-0 hasil jaringan Raheem Sterling dan Kevin De Bruyne sebelum insiden berkenaan sambil Phil Foden menambah gol ketiga ke atas Arsenal, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas David Luiz dibuang padang.