Ferguson gesa Everton buru pengurus bertaraf dunia

Oleh Staff Writer 16 Disember 2019 4142
 Ferguson gesa Everton buru pengurus bertaraf dunia
Duncan Ferguson memuji "prestasi memukau" Everton ketika seri 1-1 di Manchester United tengah malam tadi, dalam perlawanan kedua kendaliannya tetapi pengurus sementara itu tetap tidak berminat untuk terus memikul tugas berkenaan.

Gol sendiri oleh Victor Lindelof meletakkan Everton di landasan kemenangan untuk kemenangan kedua di bawah kendalian Ferguson susulan kejayaan 3-1 ke atas Chelsea tetapi pemain gantian, Mason Greenwood, menjaringkan gol penyamaan buat United.

Empat mata daripada dua perlawanan sukar mencerminkan keupayaan Ferguson untuk membangkitkan motivasi The Toffees berikutan pemecatan Marco Silva.

Namun, bekas penyerang kelab itu bagaimanapun sekali lagi menolak cadangan bahawa dia berkeupayaan mengambil peranannya secara sepenuh masa.

Menggambarkan prestasi pemainnya, Ferguson memberitahu Sky Sports: "Ia luar biasa.

"Ia satu persembahan yang hebat. Mereka manusia yang menakjubkan. Saya gembira kerana kami meraih satu mata. Saya tiada rungutan. 

"Kami telah menewaskan pasukan teratas di Chelsea, kemudian berkunjung ke Old Trafford dan mencatat keputusan seri. Ini hanya keputusan seri keenam kami (di United) dalam tempoh 30 tahun -- (kami hanya) menang dua kali di sini dan lima kali seri sebelum ini.

"Saya faham kami harus cuba mendapatkan khidmat pengurus terbaik, pengurus terbaik di dunia," katanya.

Ferguson membawa masuk Moise Kean dalam babak kedua tetapi hanya untuk mengeluarkannya 19 minit kemudian tetapi dia menegaskan langkah berkenaan tidak mencerminkan prestasi tonggak antarabangsa Itali itu.

"Ia bukan ada kena mengena dengan prestasi Moise Kean," kata Ferguson.

"Saya hanya perlu membuat penggantian pemain bagi membuang masa. Saya mempunyai ramai penyerang di bangku simpanan."

Penggempur Everton, Dominic Calvert-Lewin, memuji pengaruh Ferguson terhadap pasukan itu dengan berkata: "Ia luar biasa. Anda boleh melihat keghairahannya kepada kelab terpancar dan betapa tingginya sokongan terhadapnya diberikan.

"Ia mempengaruhi pemain dan saya fikir anda dapat melihatnya lagi hari ini -- sebagai manusia, kami telah bekerja keras. Jika anda tidak boleh menang, jangan kalah dan saya fikir itu mesej utama pada hari ini. "
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen