Bruno Fernandes menegaskan Manchester United mampu mengesahkan tempat dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris musim ini.

Pemain berbangsa Portugis itu mempamerkan prestasi luar biasa dengan menjaringkan dua gol ketika pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu menewaskan Brighton and Hove Albion 3-0 di Stadium Amex awal pagi tadi.

Keputusan itu meletakkan United hanya kekurangan dua mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, yang akan memanfaatkan kelebihan satu perlawanan dalam tangan ketika menentang West Ham awal pegi esok.

Fernandes -- yang telah menjaringkan lima gol daripada lapan perlawanan liga pertama sejak menyertai pasukan itu daripada Sporting CP, Januari lalu -- Tidak menghiraukan jurang mata itu berbaki enam perlawanan musim ini kerana yakin pasukannya mampu ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

"Kami sedang memburu tempat untuk ke Liga Juara-Juara dan kami tahu kami mampu mendapatkannya," katanya kepada Sky Sports.

"Perkara paling penting adalah tiga mata tetapi kami bermain baik dan keputusannya juga baik.

"Kami sekali lagi tidak dibolosi dan ia amat penting.

"Kami sedar kami perlu memberikan tekanan dan mencuba untuk menjaringkan gol sejak dari minit pertama.

"Saya bernasib baik dengan gol pertama dan gol kedua pula amat luar biasa daripada hantaran luar biasa Mason (Greenwood)," katanya.