Frank Lampard tidak kisah seandainya Chelsea jatuh ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi memberikan amaran bahawa pasukannya tidak boleh mengulangi pendekatan sama selepas tewas 0-3 kepada Sheffield United awal pagi tadi.

Skuad The Blues itu jelas bukan pasukan terbaik di Bramall Lane dan dengan kekalahan terbaru itu, mereka akan dipintas Leicester City dan Manchester United sekiranya masing-masing menewaskan Bournemouth dan Southampton.

Kedudukan kelima mungkin masih dapat membawa Chelsea ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, bergantung kepada keputusan rayuan Manchester City, yang digantung selama dua tahun daripada kejohanan itu.

Bagaimanapun, Lampard enggan nasib Chelsea diletakkan kepada keputusan yang akan dikeluarkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) itu.

Lampard berkata kepada Sky Sports: "Apa yang kami perlu lakukan dengan perlawanan itu adalah melupakannya kerana perkara paling penting ketika ini adalah kami berjuang untuk mendapatkan empat kedudukan teratas dan kami masih berada dalam persaingan itu berdasarkan bagaimana kami melihat musim ini. Kami perlu melupakan perlawanan ini secepat mungkin tetapi saya dapat belajar banyak perkara.

"Mereka lebih kuat daripada kami, saya fikir anda dapat melihatnya.

"Kita tidak mempunyai penyokong, jadi saya fikir anda dapat dengar setiap suara. Apa yang dapat saya dengar adalah suara Sheffield United.

"Mereka lebih kuat daripada aspek itu dan mereka memiliki pemain yang bagus, mereka pasukan yang bagus.

"Jadi, sekiranya anda datang ke sini dan bermain di bawah tahap sebenar seperti kami, itulah yang akan berlaku," katanya.

Bagaimanapun, Lampard tidak kisah di mana kedudukan Chelsea ketika menentang pasukan yang sudah tersingkir daripada EPL, Norwich City, dalam perlawanan berikutnya Khamis ini, yang disusuli dengan separuh akhir Piala FA menentang United dan dua perlawanan liga terakhir skuad The Blues itu menentang juara, Liverpool, dan Wolves.

"Itulah realitinya tetapi saya tidak terlalu kisah mengenai kedudukan empat teratas hari ini," jawab Lampard ketika ditanya mengenai kemungkinan pasukannya akan jatuh ke tangga kelima.

"Apa yang akan saya lakukan ialah menonton setiap perlawanan di TV dan melihat di mana kedudukan kami dan apa yang kami mahu lakukan.

"Kerana sudah pasti kami mahu berada di sana tetapi hari ini, saya lebih risau mengenai prestasi kami dan saya banyak belajar daripadanya.

"Buat masa ini, saya tidak memikirkan 'Kami mungkin di tangga kelima, kami mungkin di tangga ketiga atau keempat'.

"Saya berfikir yang kami akan melihat bagaimana pendekatan kami ketika menentang Norwich kerana kami tidak boleh menentang Norwich atau Manchester United atau Liverpool atau Wolves dengan cara yang sama seperti hari ini," katanya lagi.