Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan kecederaan yang dialami Virgil van Dijk ketika berdepan Salzburg dalam perlawanan persahabatan semalam bukanlah sesuatu untuk digusarkan.

Pertahanan kebangsaan Belanda itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-55 ketika The Reds terikat 2-2 dengan kelab Austria itu gara-gara terluka di bahagian kepala.

Klopp, bagaimanapun, mengesahkan selepas tamat perlawanan bahawa pemain berusia 29 tahun itu dijangka tidak akan mengalami kesan jangka panjang.

"Virg kelihatan hanya mengalami luka dan sudah menampalnya dengan plaster," katanya dalam laman web rasmi Liverpool.

"Ia sepatutnya tidak akan menjadi masalah. Buat masa ini, sudah pasti ia tidak kelihatan baik tetapi ia pasti tidak akan mendatangkan masalah."

Liverpool akan berdepan Arsenal dalam perlawanan Perisai Komuniti, Sabtu ini sebelum memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menentang Leeds United pada 12 September depan.