EPL: Gabriel curi hati Arteta dalam penampilan pertama buat Arsenal

Oleh Muzaffar Musa 13 September 2020 793
EPL: Gabriel curi hati Arteta dalam penampilan pertama buat Arsenal
Mikel Arteta tertarik dengan prestasi Gabriel ketika pemain itu menandakan penampilan pertamanya bersama Arsenal dengan satu jaringan ketika menewaskan Fulham 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

Pertahanan tengah itu menjaringkan gol kedua pasukan pelawat berkenaan selepas memanfaatkan sepakan penjuru Willian untuk menjadikan kedudukan 2-0 di Craven Cottage.

Ia merupakan perlawanan kompetitif pertama buat Gabriel selepas kali terakhir beraksi ketika membantu Lille menewaskan Lyon 1-0 dalam saingan Ligue 1 sebelum saingan divisyen utama Perancis itu ditamatkan lebih awal berikutan pandemik koronavirus.

Ia juga satu persembahan meyakinkan daripada bekas bintang Chelsea, Willian, yang menjadi pencetus kepada jaringan pertama Arsenal yang disudahkan Alexandre Lacazett sebelum membantu Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol ketiga.

Pengurus pasukan, Arteta, amat berpuas hati dengan persembahan Gabriel, yang melakukan 107 hantaran dalam perlawanan itu, terutama selepas sekian lama tidak beraksi.

"Kedua-dua mereka amat bagus," kata Arteta. 

"Sudah pasti ia sedikit lebih mudah buat Willy kerana dia mengenali liga ini, negara ini dan dia sudah selesa berada di sini, jadi saya tahu prestasi baiknya akan berterusan.

"Tentang Gabriel, ia satu cabaran yang besar buatnya untuk beraksi di sini kerana dia tidak bermain dalam sebarang perlawanan sejak enam bulan lalu.

"Secara Idealnya, saya mahu memberikannya sedikit masa kerana dia hanya berlatih bersama pasukan ini untuk beberapa hari.

"Secara fizikalnya, dia tidak bermain dalam sebarang perlawanan kompetitif sejak enam bulan lalu, jadi terdapat risiko untuk dia tercedera.

"Tetapi pujian buatnya, dia beraksi dengan amat baik, secara fizikal juga amat baik," katanya.
   


Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen