Persatuan Bolasepak (FA) mengumumkan 40 kes baru COVID-19 dalam kalangan pemain dan kakitangan kelab -- angka tertinggi yang dicatatkan dalam seminggu setakat ini.

Pada masa yang sama, penganjur Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yakin protokol yang diamalkan mereka demi perlawanan diteruskan dengan kelab kini diarah menjalani dua ujian calitan seminggu.

Hasilnya sepanjang 28 Disember hingga 3 Januari, kes terus melonjak berbanding 18 kes yang dicatatkan minggu lalu.

Dalam satu kenyataan, FA mengesahkan 28 kes positif daripada 1,311 individu di antara 28 Disember hingga 31 Disember, disusuli 12 lagi didapati positif dalam kalangan 984 pemain dan kakitangan ketika diuji pada 1 Januari hingga 3 Januari.

Walaupun England telah mengetatkan kawalan pergerakan di peringkat nasional, sukan profesional diizinkan untuk diteruskan, tidak seperti musim lalu yang menyaksikan kempen itu tertangguh selama tiga bulan.

Tiga perlawanan EPL ditunda minggu lalu -- membabitkan aksi Fulham menentang Tottenham dan Burnley dibatalkan, selain kunjungan Manchester City di Everton -- akibat pandemik itu

Di sebalik khabar buruk itu, FA berharap kempen musim ini dapat dijalankan seperti yang dirancang. Timbul beberapa seruan agar beberapa liga ditangguhkan seketika bagi mengekang penularan COVID-19.

FA, bagaimanapun, berkata: "Dengan jumlah ujian positif yang rendah di sebilangan besar kelab, kami memiliki keyakinan terhadap protokol COVID-19, yang disokong sepenuhnya oleh pihak kerajaan sekali gus perlawanan dapat diteruskan mengikut jadual."

Protokol itu mewajibkan pemain atau kakitangan kelab yang dikesan positif COVID-19 wajib dikuarantin selama 10 hari.