EPL: Arteta jangka gol berganda tingkat keyakinan Aubameyang

Oleh Muzaffar Musa 19 Januari 2021 388
EPL: Arteta jangka gol berganda tingkat keyakinan Aubameyang
Mikel Arteta percaya Pierre-Emerick Aubameyang dapat membina sesuatu daripada kejayaannya menjaringkan dua gol ketika membantu Arsenal menewaskan Newcastle United 3-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Aubameyang menjaringkan gol dalam pertemuan keempat berturut-turut dengan Newcastle dalam kesemua kejohanan selepas turut menjaringkan gol pembukaan dalam kedua-dua pertemuan EPL musim lalu selain menjaringkan gol kemenangan dalam Piala FA awal Januari lalu.

Kapten Arsenal itu memecahkan kebuntuan di Stadium emirates awal pagi tadi dengan menewaskan penjaga gol, Karl Darlow, dari jarak dekat pada awal babak kedua sebelum menyudahkan hantaran 'cutback' Cedric Soares bagi melengkapkan kemenangan Arsenal.

Ia merupakan jaringan berganda pertama Aubameyang buat Arsenal sejak melakukannya dalam final Piala FA musim lalu dan ia sudah pasti akan menjadi pemangkin keyakinannya selepas gagal menjaringkan gol menerusi 10 perubaan terakhirnya dalam liga sebelum menemui sasaran di Stadium Emirates.

"Dia mencubanya sejak dari separuh masa pertama. Saya fikir dia memiliki dua atau tiga peluang terhidang dan tidak menjaringkan gol," kata pengurus Arsenal, Arteta, kepada Sky Sports.

"Dia menjaringkan dua gol hari ini dan saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang baik untuk keyakinannya. Amat jelas, ia amat baik buat pasukan ini kerana dia membantu kami memenangi perlawanan. Secara keseluruhan, saya amat gembira."
 
Arsenal turut mendapatkan kembali khidmat Thmas Partey dalam kesebelasan utama mereka buat kali pertama sejak tewas kepada Tottenham pada Disember lalu.

Partey bermain selama 67 minit dan mendaftarkan bantuan jaringan pertamanya dalam EPL ketika mencetuskan gol pembukaan Aubameyang.

"Saya benar-benar gembira," tambah Arteta.

"Saya fikir dia menjadi semakin baik ketika perlawanan berjalan. Dia membawa pengaruh yang besar. Dia memberikan kami sesuatu yang berbeza berbanding pemain lain.

"Tetapi kami masih perlu melindunginya memandangkan dia tidak banyak beraksi sejak beberapa bulan lalu tetapi saya amat gembira dengan prestasinya," katanya lagi.

 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen