Arsenal mengesahkan bahawa penyerang mudanya, Gabriel Martinelli, tidak dapat menyertai sesi latihan sehingga penghujung tahun ini selepas selesai menjalani pembedahan lutut.

Martinelli menyertai Arsenal daripada pasukan Itali, Ituano, tahun lalu dan menjaringkan 10 gol daripada 16 penampilan sebelum mengalami kecederaan di lutut kirinya dalam sesi latihan 21 Jun lalu.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang menandatangani kontrak jangka panjang dua minggu lalu, pada awalnya dijangka akan berehat selama dua atau tiga bulan tetapi perkembangan terkini mendapati dia mungkin tidak akan beraksi sehingga tahun depan.

Perkembangan itu disahkan Arsenal dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan laman web rasmi mereka yang tertulis: "Dia (Martinelli) sedang menjalani pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut, yang dijalankan pada penghujung bulan lalu.

"Pembedahan itu berjalan lancar, dengan nasihat daripada pasukan kami, adalah amat disarankan untuk Gaby memulakan sesi pemulihannya.

"Dia berada di pusat latihan kami setiap hari dan menerima perhatian khusus dan sokongan daripada pasukan perubatan kami.

"Dia akan meneruskan sesi pemulihannya sehingga penghujung musim ini dengan sasaran untuk kembali menjalani latihan pada penghujung 2020," katanya.

Arsenal turut memberikan perkembangan mengenai keadaan Pablo Mari dengan pertahanan itu dijangka akan kembali menjalani latihan penuh September depan selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali ketika tewas kepada Manchester City bulan lalu.

"Dia kini sudah tidak memerlukan tongkat selepas pembedahan dan dapat bergerak bebas tanpa bantuan.

"Dia kembali ke Sepanyol buat seketika, di mana dia terus menerima perhatian khusus dan terapi tambahan.

"Dia akan kembali ke UK (United Kingdom) pada penghujung bulan ini dan akan meneruskan proses pemulihannya di pusat latihan kami sehingga hujung tahun ini dengan sasaran untuk kembali menjalani latihan penuh pada September depan," katanya.