Luis Enrique menjangkakan Manchester City akan menerapkan pendekatan agresif dalam pertemuan Liga Juara-Juara melibatkan kedua-dua pasukan di Stadium Etihad, awal pagi ini.

Barcelona yang membelasah City 4-0 dalam pertemuan di Nou Camp dua minggu lalu hasil ilham hatrik Lionel Messi, kini memimpin Kumpulan C dengan lima mata.

Mereka hanya perlu mengelak kekalahan di Manchester untuk mara ke pusingan seterusnya dengan baki dua perlawanan lagi.

Namun, Enrique tidak menjangka akan berdepan tugas mudah ketika berdepan peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang berasakan telah memberikan saingan sebelum insiden Claudio Bravo dibuang padang dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan.

"Saya menjangkakan corak permainan yang sama seperti pertemuan terakhir kami," kata Enrique. "Saya tidak fikir mereka akan lebih agresif dari segi tekanan kerana mereka sering menekan kami.

"Saya menjangkakan skrip yang sama dengan kedua-dua pasukan memiliki objektif yang serupa; apabila kami menguasai bola, kami melebarkan permainan sebesar mungkin dengan menampilkan permainan menarik dan memberi tekanan dari atas.

"Itu adalah falsafah yang diterapkan. Saya berharap kami dapat mengatasi segala-galanya untuk memenangi perlawanan."

"Banyak yang boleh ditawarkan skuad City kendalian Pep," katanya lagi. "Mereka mampu melakukan pelbagai perkara dan anda perlu menyesuaikan diri dengan rentaknya agar anda dapat memberi tekanan kepada mereka.

"Namun, mereka mempunyai banyak kualiti.

"Beraksi di sini adalah berbeza kerana kami sedar apa yang telah kami lakukan ke atas mereka dan mereka mungkin akan melakukan rombakan kerana saya kenal Pep dan tahu apa ideanya.

"Kami perlu memberi perhatian kerana Pep seorang pengurus yang akan cuba mencari jalan untuk mendapatkan keputusan."