Pengendali Arsenal, Unai Emery, sudah mempunyai perancangan bagi menangani masalah pertahanan tengah yang melanda pasukan itu ketika berkunjung ke Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris, esok.

Kapten pasukan, Laurent Koscielny, kembali mewakili pasukan itu ketika menewaskan Qarabag dalam Liga Europa, Khamis lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu ditimpa kecederaan achilles, Mei lalu, yang turut menyaksikan dia diketepikan daripada skuad Piala Dunia Perancis.

Koscielny melengkapkan aksi 72 minit di samping Sokratis Papastathopoulos, namun Emery tidak dapat menurunkan kedua-dua pakar di bahagian pertahanan tengah pasukannya itu menjelang aksi di St Mary.

Sokratis digantung satu perlawanan selepas mengumpul lima kad kuning dalam 10 perlawanan liga.

Shkodran Mustafi pula dilanda kecederaan paha dan Robert Holding terpaksa direhatkan sepanjang musim selepas menjalani pembedahan lutut.

Ia risiko yang besar untuk menurunkan Koscielny sepenuh masa, namun pemain sayap bertahan, Stephan Lichtsteiner dan Nacho Monreal, mempunyai kemahiran untuk mengisi kekosongan itu.

Pemain tengah, Granit Xhaka dan Mohamed Elneny, juga dilihat mampu beraksi di bahagian pertahanan.

"Saya berasakan kami mempunyai pemain yang baik di bahagian pertahanan dengan adanya Sokratis dan Koscielny.

"Kami perlu mencongak percaturan terbaik hujung minggu ini.

"Kami mungkin tidak dapat menurunkan Mustafi, Holding dan Sokratis, namun saya yakin barisan pemain yang lain mampu mengisi kekosongan itu.

"Setiap pemain pasti bersedia untuk diturunkan," katanya.

Pemain tengah, Mesut Ozil, kembali pulih daripada kecederaan belakang yang dialaminya.

Emery turut berharap Aaron Ramsey dapat segera pulih daripada kecederaan buku lali untuk bergandingan dengan Ozil.

"Ozil kembali memberikan aksi terbaik selepas pulih daripada kecederaan.

"Saya berasakan dia akan cergas untuk diturunkan esok.

"Ramsey juga berada dalam keadaan yang baik.

"Dia sudah mula berlatih dan berpeluang cerah untuk beraksi," tambahnya.