CRYSTAL PALACE 2 ARSENAL 2

Pengurus Arsenal, Unai Emery, enggan menyalahkan Granit Xhaka selepas terpaksa menampung bahagian pertahanan kiri yang memberi ruang buat Wilfried Zaha untuk membantu Crystal Palace mencatat seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).


Luka Milivojevic meletakkan Palace di depan dalam babak pertama selepas Shkodran Mustafi mengasari Cheikhou Kouyate.

Xhaka kemudian meledak gol sepakan percuma berbahaya sejurus enam minit permainan bersambung sebelum giliran Pierre-Emerick Aubameyang membolehkan Arsenal memimpin perlawanan biarpun terdapat dakwaan bola lebih awal terkena tangan Alexandre Lacazette.

Bagaimanapun, The Gunners gagal mempertahankan pendahuluan untuk mencipta kemenangan ke-12 berturut-turut berikutan tindakan Xhaka yang menjatuhkan Zaha untuk Milivojevic menyempurnakan tendangan penalti keduanya.

"Saya kecewa dengan keputusannya tetapi selain daripada itu, kami dalam keadaan baik," kata Emery kepada Sky Sports.

"Saya fikir keputusan ini bukanlah buruk bagi kami. Memang lebih baik kalau menang tetapi berdasarkan 90 minit permainan, ia adalah keputusan yang baik."

Mengenai jaringan penyamaan lawan, Emery berkata: "Ia adalah tindakan yang sukar untuk pertahanan tetapi sikap Xhaka begitu baik memandangkan dia merupakan pemain tengah yang sedang bermain di bek kiri.

"Kualitinya lebih baik di tengah tetapi dengan sikapnya itu, saya tidak boleh merungut kepadanya."

Xhaka berlari ke bangku simpanan untuk meraikan jaringannya dengan pengurusnya itu dan Emery menjelaskan mengapa.

"Pada waktu rehat, kami bercakap tentang keadaan ini, kualitinya sangat baik dalam tendangan bebas," katanya.

"Saya mendesaknya untuk melakukannya. Setiap pemain boleh melakukan pelbagai situasi di atas padang dalam usaha membantu kami dan dengan kualitinya itu, dia dapat melakukannya."

Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, memuji Milivojevic selepas usaha kaptennya itu dinafikan oleh Jordan Pickford dalam kekalahan terakhir kepada Everton, hujung minggu lalu.

"Dia terpaksa menunjukkan keberanian, kekuatan mental," katanya.

"Kedua-duanya penaltinya tidak memberi peluang kepada penjaga gol."

Bekas pengurus England itu berasakan 'bantuan' Lacazette kepada Aubameyang jelas terkena tangan tetapi enggan menyalahkan pengadil.

"Saya tidak menyalahkan pengadil atau pembantu pengadil kerana banyak perkara yang boleh terlepas dalam bola sepak," katanya.

"Saya bukan pengurus yang akan mula mengkritik tatkala nasib tidak menyebelahi kami.

"Saya fikir kebanyakan orang akan bersimpati dan bersetuju dengan saya dengan mengatakan jaringan itu tidak sepatutnya disahkan kerana kami berpeluang memungut tiga mata."