Eric Dier bersetuju memeterai kontrak baru untuk kekal di Tottenham hingga 2024.

Kontrak pemain antarabangsa England serba boleh itu berbaki kurang dari setahun sebelum mengesahkan kedudukan bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

Dier menyertai Spurs daripada Sporting Lisbon pada 2014 dan telah membuat 239 penampilan untuk pasukan London utara itu dengan menyumbat 11 gol.

Pemain berusia 26 tahun itu akan sedia untuk menghadapi Crystal Palace, Ahad ini, sebagai perlawanan terakhir Tottenham musim ini selepas selesai menjalani penggantungan empat perlawanan susulan tindakannya menuju ke tempat duduk peminat selepas kekalahan Piala FA di laman sendiri dengan Norwich City, Mac lalu.


Dier telah mewakili pasukan kebangsaan England sebanyak 40 kali termasuk menyempurnakan sepakan penalti dalam kemenangan penentuan penalti Piala Dunia England ke atas Colombia untuk mara ke suku akhir dalam kempen di Russia, dua tahun lalu.

Dier memberitahu Twitter kelab itu: "Saya sangat gembira untuk kekal di sini dan komited dalam perjalanan yang kami harungi.

"Sungguh gila memikirkan bahawa saya telah berada di sini selama enam tahun. Saya amat menikmatinya, sangat bagus untuk bekerja di bawah semua pengurus sebelum ini termasuk yang ketika ini. Saya berasa istimewa untuk berada di kelab ini berdasarkan persediaan dan kumpulan pemain ini. Ini satu tempat menarik.

"Telah banyak yang kelab ini berikan kepada kami, kami pernah melalui detik yang menyeronokkan bersama-sama dan kami ingin jadikannya lebih baik lagi. Ada banyak perkara yang perlu saya capai di sini sebelum (perjalanan saya) berakhir.

"Saya bagaikan sedang memulakan perjalanan baru. Sasaran saya sangat jelas: saya mahu menjadi yang terbaik untuk posisi saya dalam EPL ini. Saya mahu membuktikan kemampuan di posisi itu dan Tottenham merupakan tempat terbaik untuk saya mencapainya.

"Objektif saya yang jelas termasuk pengurus, iaitu untuk memenangi piala bersama kelab ini. Apabila tiba masanya, saya hanya akan angkat kaki selepas mencapainya."

Pengurus Spurs, Jose Mourinho, yang sudah menjangkakan anak buahnya itu turut menyatakan harapannya terhadap Dier, yang mula menggalas tugas di bahagian tengah pertahanan sebelum penggantungannya tersebut.

Mourinho berkata: "Bos saya, (Daniel) Levy, memberitahu bahawa dia mahukan Eric menandatangani kontrak baru manakala Eric memberitahu saya bahawa dia lebih senang kekal di sini, lebih senang dengan situasinya terutama ketika ini. Dia berasakan kami mempunyai idea untuknya dan mempunyai kesepakatan.

"Dan dia juga memberitahu saya bahawa dia begitu ingin kekal.

"Oleh itu, saya harap kami dapat menemui kesepakatan kerana saya sedang berusaha membawa pasukan ke arah tertentu dan untuk itu, saya kini berusaha mengembangkan pemain dalam pasukan ini kerana saya sedang menunggu pemain untuk melanjutkan kontrak."