Bekas Pengarah Bola Sepak Liverpool dan Tottenham, Damien Comolli, mendedahkan hanya tiga kelab Liga Perdana Ingeris (EPL) sahaja yang sanggup berbelanja dalam jendela perpindahan berikutnya.

Wabak koronavirus baru (Covid-19) telah membuatkan bola sepak di seluruh dunia tertangguh dengan saingan utama di England dihentikan sejak 9 Mac lalu.

Liga Perdana mengumumkan minggu lalu mengumumkan masih berhasrat untuk menyelesaikan musim ini dengan harapan ia dapat diselesaikan pada hujung Jun depan.

Oleh kerana kesan kewangan ekoran krisis kesihatan global itu, sejumlah pasukan menjangkakan penurunan yuran perpindahan yang ketara dalam pasaran berikutnya.

Dia telah menerima maklumat bahawa perbelanjaan Liga Perdana akan terbatas kepada hanya tiga pasukan, namun dia tidak dapat mengesahkan ketepatan pandangannya itu.

"Seorang ejen telah memberitahu saya bahawa sebenarnya hanya ada tiga kelab EPL yang akan mempunyai dana dalam jendela perpindahan musim depan," katanya kepada Sky Sports.

"Saya tidak pasti apakah jangkaan ini tepat tetapi biasanya apabila ejen memberitahu anda perkara seperti ini, mereka biasanya sudah mempunyai maklumat.

"Kita mungkin melihat aktiviti perpindahan yang sangat sedikit, mungkin saling bertukar dan meminjam pemain. Saya fikir kita akan melihat penurunan besar dalam soal yuran dan aktiviti perpindahan, apatah lagi yang melibatkan wang.

"Semakin lama krisis ini berlanjutan, lebih banyak kelab akan berada dalam keadaan sukar daripada segi kewangan. Perkara pertama yang akan dipengaruhi adalah imbuhan pemain, yang kedua adalah bayaran perpindahan."


Comolli yakin Spurs, yang menduduki tempat kelapan EPL ketika ini, perlu berhati-hati dengan kedudukan mereka jika mereka tercicir tiket Liga Juara-Juara (UCL).

"Mereka tidak beraksi dengan baik dalam liga. Sekiranya pasaran perpindahan sukar buat mereka dan jika gagal layak ke UCL, orang ramai harus mula memahami bahawa mereka perlu mengambil langkah yang sangat berhati-hati," katanya.

"Masih ingat lagikah tentang perdebatan ketika Arsenal harus membayar Emirates untuk membangunkan stadium, dalam masa sama mereka dikritik kerana tidak berbelanja. Hakikatnya mereka tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan. Itu adalah perkiraan yang sangat mudah.

"Dan saya fikir Tottenham masih dalam situasi mempunyai sejumlah wang untuk dibelanjakan. Saya yakin atau mereka mempunyai peruntukan sebelum pandemik itu yang tercetus.

"Tetapi virus itu akan menimbulkan situasi buat mereka kerana mereka menanggung hutang yang besar. Ia adalah 'hutang yang sihat' kerana mereka membina sebuah stadium dan mereka mempunyai aset yang luar biasa tetapi mereka masih harus membayarnya."