Frank Lampard mengakui "ia tidak akan kelihatan manis" sekiranya pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) terlebih dahulu membuat ujian saringan berbanding barisan hadapan yang bertugas menangani wabak novel koronavirus (Covid-19).

Setelah mengadakan perjumpaan dengan pihak berkepentingan kelmarin, Liga Perdana mengeluarkan kenyataan untuk mengulangi komitmen mereka bagi melengkapkan musim 2019-20, walaupun perlawanan hanya dibenarkan seandainya keadaan adalah selamat dan sesuai.

Media melaporkan pihak penganjur merancang untuk menyambung aksi pada pertengahan bulan depan di venue berkecuali yang turut membabitkan Kerajaan United Kingdom (UK) dalam apa yang disebut sebagai 'Projek Permulaan Semula '.

Pemain, jurulatih dan kakitangan kelab diwajibkan menjalani ujian saringan sebelum kempen musim ini bersambung, namun pengurus The Blues itu menegaskan langkah tersebut tidak boleh diteruskan dengan mengetepikan barisan hadapan.

"Kesihatan dan keselamatan pemain sangat penting," katanya kepada BT Sport.

"Negara ini telah mempraktikkan jarak sosial dengan begitu baik. Hakikatnya sukan ini melibatkan kontak tetapi kami mahu mengelak jangkitan dan jika ia berlaku, apakah langkah buat kami untuk tidak membahayakan pemain dalam soal itu?

"Selain itu, timbul isu mengenai ujian saringan yang akan dilaksanakan.

"Secara minimum, sekitar 70 atau 80 kakitangan di Cobham, akan bertugas jika kami memulakan semula latihan. Saya tidak kisah kami diuji secara berkala.

"Kita lihatlah situasi di seluruh dunia ketika ini. Saya tidak pasti jumlah saringan buat barisan hadapan dan petugas kebajikan, mereka memainkan peranan yang luar biasa selama dua bulan ini. Saya tidak fikir ia adil kerana bukan hanya saya tetapi kepada sesiapa sekalipun sekiranya kami tidak memberi keutamaan ujian kepada barisan depan.



"Ia langkah penting buat bola sepak untuk diteruskan.

"Selepas itu, kami mungkin berdepan masalah sendiri. Kami perlu beraksi di gelanggang berkecuali dan ada pula pemain yang sudah tamat kontrak termasuklah watak utama pasukan kami. Jadi akan ada perbincangan yang panjang lebar dan saya rasa ia situasi yang sangat jelas pada masa ini."