Covid-19: Arsenal banyak kepincangan ketika saya sampai -- Arteta 

Oleh Shaiful Shamsudin 6 Mei 2020 179
 Covid-19: Arsenal banyak kepincangan ketika saya sampai -- Arteta 
Mikel Arteta berasakan terlalu banyak kepincangan sejurus mengambil alih tugas di Arsenal, hujung tahun lalu.

Sebagai bekas kapten Arsenal, dia dilantik sebagai pengurus untuk menggantikan Unai Emery, Disember lalu.

Arteta, yang merekodkan lapan kemenangan dan enam seri dalam 16 perlawanan sebelum musim ini ditangguhkan kerana wabak novel koronavirus (Covid-19), berkata adalah sukar untuk mempercayai kelab itu terjerumus di kedudukan itu. 

"Jelas sekali melangkah masuk ke kelab ini pada waktu itu bukan mudah tetapi kata kuncinya adalah tenaga," katanya kepada pemain legenda The Gunners, Ian Wright, dalam wawancara untuk Adidas.

"Saya berasakan bahawa tenaga di tempat latihan, stadium, tidak sepadan untuk kelab sehebat ini memandangkan saya pernah berada di sini.

"Saya bernasib baik pernah beraksi di sini jadi di peringkat awal semua orang perlu berasa seperti itu kerana terdapat banyak kepincangan dalam semua perkara dan saya mahu menyatukan semua orang.

"Yang pertama, untuk memahami betapa beruntungnya kami dapat berada di sini, kemudian mempunyai hala tuju yang sangat jelas di mana kami mahu berada."

Arsenal menduduki tangga kesembilan, lapan mata dipisahkan dengan pasukan di tempat keempat sebelum kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) digantung apabila wabak tersebar semakin meluas. 

Pengurus berbangsa Sepanyol itu berharap perlawanan dapat bersambung, namun berpendapat pengetahuan tentang koronavirus akan menjadi titik tolak. 

"Saya rasa aspek yang paling sukar adalah untuk mendidik pemain dan semua pihak yang terlibat di tempat latihan dan hari perlawanan bahawa ini satu keadaan yang berbeza," katanya.

 
"Kami harus mematuhi protokol dengan tegas. Pertimbangan akan menentukan bilakah kami boleh mengambil langkah berikutnya. 

"Kami tidak boleh terburu-buru, kami semua memang berhasrat untuk beraksi, kami perlu dan sanggup beraksi kerana ia penting buat kami, masyarakat dan ekonomi.

"Kami menggalas tanggungjawab berkenaan jadi kami harus bersiap sedia sebaik mereka membuka pintu itu dan berjuang hebat."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen