Pemain tengah Tottenham Hotspur, Dele Alli, telah melakukan usaha sendiri untuk membantu pemain muda mempersiapkan diri ketika menghadapi tempoh larangan keluar.

Wabak coronavirus yang merebak telah menyebabkan kawalan pergerakan di banyak negara termasuk tempoh kawalan pergerakan yang diwujudkan.

Tatkala kebanyakan acara sukan dan kegiatan harian terganggu, Alli cuba untuk menghulurkan bantuan kepada rakan sepasukan yang lebih muda.

"Sebagai pemain lebih berpengalaman, saya telah bercakap dengan mereka yang lebih muda dan memastikan mereka dalam keadaan yang baik," katanya.

"Ia juga penting untuk diri sendiri, bercakap dengan orang lain dan cuba memastikan saya tidak keseorangan melalui komunikasi dengan mereka.

"Tiada siapa pernah mengharungi situasi seperti ini. Ia sukar untuk dihadapi.

"Saya fikir bagus untuk mereka yang menggunakan media sosial dan platform lain dalam usaha untuk membantu mereka yang memerlukan."

Hari kelahiran Alli ke-24 pada awal bulan ini turut termasuk dalam tempoh larangan keluar dan dia berkongsi sewaktu meraikannya menerusi laman media sosial.

Namun, pemain England itu tetap berhubung dengan rakan sepasukan di Spurs apabila membuat sesi latihan menerusi panggilan video yang melibatkan seluruh pasukan.

"Berada di rumah ketika hari kelahiran bukan sesuatu yang menyeronokkan tetapi saya cuba. Ia sedikit menggembirakan, saya cuba memeriahkannya," tambahnya.

"Kami melakukan sesi Zoom setiap hari pada jam 11 pagi dan bagus untuk menjadikannya satu rutin harian.

"Anda perlu bangun awal, makan dan mengharungi sesi itu. Ia sukar tetapi bagus dapat melihat pemain lain setiap hari."