Prestasi hebat Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini memberikan masalah kepada semua pencabar kejuaraan di England.

Pendapat itu dinyatakan oleh pengurus Chelsea, Antonio Conte, selepas menyaksikan pasukannya kini ketinggalan sembilan mata di belakang skuad kendalian Pep Guardiola yang berada di tangga teratas.

City, yang hanya tercicir dua mata selepas mengharungi 10 perlawanan, berada lima mata mengatasi musuh setempat yang berada di tangga kedua liga, Manchester United.

Chelsea bakal berhadapan United esok dan ketika ditanya sama ada The Blues mesti menundukkan anak buah Jose Mourinho, Conte menjelaskan masih ada perkara yang lebih penting daripada aksi di Stamford Bridge.

"Buat masa sekarang, terdapat satu masalah besar buat pasukan yang memikirkan mereka sedang mencabar kejuaraan liga dan masalah itu adalah Manchester City," kata Conte.

"Jika City meneruskan prestasi terkini, ia akan menyukarkan laluan pasukan lain untuk menjulang trofi EPL.

"Apapun, kami akan bekerja keras dalam setiap perlawanan walaupun ketika ini, saya rasa mata yang diraih Chelsea adalah wajar dan setimpal.

"Saya tidak tahu sampai bila mereka akan meneruskan aksi yang konsisten," tambahnya.

Chelsea tewas 0-1 di tangan City, September lalu, dan Conte menegaskan pemain-pemainnya perlu sentiasa bersedia untuk berdepan dengan setiap pencabar dalam liga.

"Apabila anda berdepan pasukan seperti Manchester United, Arsenal, Liverpool dan Tottenham, ia sentiasa menjadi perlawanan besar.

"Saya rasa perlawanan-perlawanan sebegini seharusnya membuatkan pemain-pemain sentiasa teruja untuk turun beraksi," ujarnya.