Antonio Conte sekadar dapat mengeluh dengan senarai kecederaan pemain Chelsea yang bertambah panjang selepas Victor Moses mengalami masalah hamstring tetapi mengakui ia bukan alasan kekalahan mengejut 1-2 kepada Crystal Palace, malam tadi.

The Blues berhajat untuk kembali ke landasan kemenangan di Selhurst Park setelah terdahulu tewas 1-0 di laman sendiri kepada Manchester City sebelum jendela perlawanan antarabangsa.

Namun, Wilfried Zaha menjaringkan gol sejurus sebelum rehat selepas Tiemoue Bakayoko mengimbangi gol sendiri Cesar Azpilicueta yang menyaksikan Palace melakar jaringan dan mata pertama mereka musim ini.

Tambah memburukkan keadaan, Moses terhincut-hincut keluar padang dalam separuh masa pertama dan menyertai Alvaro Morata, N'Golo Kante dan Danny Drinkwater dalam senarai pemain cedera – satu situasi yang mengecewakan Conte.

“Saya fikir waktu ini amat sukar buat kami. Apabila anda memulakan perlawanan tanpa Morata dan Kante, ia tidak mudah,” kata Conte, yang pasukannya kini ketinggalan sembilan mata kepada pendahulu, Manchester City.

"Lebih daripada segala-galanya, jika ketika perlawanan, seorang lagi pemain penting turut tercedera seperti Victor Moses... saya berharap untuk mendapatnya kembali secepat mungkin kerana waktu ini amat sukar buat kami.

"Untuk kehilangan tiga atau empat pemain, ia satu masalah besar buat kami. Tapi, di sebalik itu, kami harus mencari iltizam untuk berjuang.

“Saya fikir musim ini akan amat sukar kerana sebab ini, kami perlu memberikan 150 peratus.
"Kami mahu mencuba menjadi kompetitif dalam semua pertandingan tapi ia tidak akan mudah.”

Ditanya jika Chelsea tidak sebagus Palace, Conte berkata: “Ya, saya fikir perlawanan ini sukar buat kami dari mula lagi.

“Permulaan kami buruk. Apabila anda berdepan Crystal Palace di tempat lawan, anda perlu bermula dengan lebih personaliti, jika tidak anda membenarkan lawan anda meraih keyakinan.

"Kami bolos gol pertama, kemudian kami bangkit mengikat kedudukan. Dalam minit-minit akhir separuh masa pertama, kami bolos gol kedua, kemudian ia sangat sukar buat kami.”