Antonio Conte menyifatkan ketiadaan pemain tengah, N'Golo Kante, menjejaskan rentak pasukannya dan dia tidak sabar menanti kepulangan pemain Perancis itu.

Kante tidak beraksi buat Chelsea sejak tewas 0-1 di tangan Manchester City pada 30 September lalu selepas pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan hamstring ketika mewakili skuad Les Bleus.

Walaupun masih belum boleh beraksi dalam pertemuan dengan Bournemouth, malam ini, dia dijangka melakukan penampilan semula dalam aksi menentang AS Roma dan juga aksi getir berdepan Manchester United, sekaligus membuatkan pengurus dari Itali itu gembira.

"Aksi tanpa Kante semestinya menyukarkan kami kerana dia adalah pemain yang penting.

"Walaupun pasukan kini mula menyesuaikan diri tanpanya, saya tetap berharap agar dia cepat kembali.

"Kami mempunyai pemain yang memiliki perwatakan sepertinya tetapi Kante adalah pemain yang sangat bagus," kata Conte.

"Danny Drinkwater kini semakin bersedia dan Kante juga bakal kembali tidak lama lagi. Satu-satunya masalah buat kami adalah Victor Moses yang memerlukan lebih tempoh masa untuk pulih."

Chelsea jelas tidak melalui musim yang baik pada musim ini selepas ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, setelah mengharungi sembilan perlawanan tetapi Conte tidak menganggap ia tempoh paling sukar buatnya bersama The Blues.

"Permulaan pastinya lebih sukar kerana saya baru tiba ke negara baru dan perlu menyesuaikan diri dengan gaya bola sepak yang berbeza.

"Saya menghadapi pelbagai masalah selepas 10 perlawanan pada musim lalu tetapi harus diingat ia adalah musim yang menyaksikan kami muncul juara.

"Kami mempamerkan aksi cemerlang pada musim lalu tetapi kini perlu cuba untuk meneruskannya dan menyelesaikan setiap masalah," tambahnya.