Edouard Mendy menjalani ujian perubatan bersama Chelsea menjelang perpindahannya daripada Rennes, demikian Frank Lampard mengesahkan.

The Blues dikatakan telah mencapai kesepakatan bernilai £22 juta (RM115.8j) dengan kelab Ligue 1 itu tatkala Chelsea berusaha keras untuk menambah persaingan di bahagian penjaga gawang buat Kepa Arrizabalaga yang dihujani kritikan hebat.

Mendy dilaporkan bersetuju mengikat kontrak selama lima tahun di Stamford Bridge.

"Mendy sedang menjalani ujian perubatan seperti yang yang kita tahu dan jika tidak tiada aral melintang, dia akan menjadi pemain kami," kata pengurus Blues, Lampard, dalam sidang media menjelang perlawanan Piala Liga Inggeris (EFL) berdepan Barnsley.

Kepa, yang dipancing £71j (RM 374.8j) daripada Athletic Bilbao, sering mempamerkan prestasi yang tidak menentu di bawah kendalian Lampard musim lalu dan posisinya sekali lagi menjadi tajuk utama berikutan kesilapannya dalam kekalahan 0-2 kepada juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.

Lampard ditanya apakah kehadiran Mendy sebenarnya boleh menjadi perkara positif bagi Kepa.

"Ya, saya tidak pasti ia akan menguntungkan sesiapa untuk jangka masa panjang, (nasib karier) bola sepak selalunya ada di tangan anda sendiri dan bagaimana anda berusaha ke depan," tambahnya.

"Persaingan sering menjadi aspek penting di Chelsea. Mendy akan berikan saingan dan ia posisi yang ingin ditingkatkan oleh Kepa sendiri.

"Ia demi kebaikan semua orang agar cuba dan memperbaiki diri. Saya tidak akan membuat kenyataan akhir terhadap sesiapa buat masa ini, bola sepak bukan seperti itu."

Bekas pemain tengah England itu juga mendedahkan bahawa Petr Cech -- yang baru dilantik sebagai pengarah teknikal kelab London terbabit -- memainkan peranan utama dalam mendapatkan Mendy memandangkan berpengalaman luas di bahagian berkenaan selain sejarahnya bersama bekas kelabnya tersebut.