CHELSEA 3 LEICESTER 0

Chelsea tidak berdepan masalah untuk menewaskan juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Leicester City, 3-0 dalam perlawanan yang berakhir sebentar tadi.


Ia adalah kekalahan keempat berturut-turut Leicester di gelanggang lawan tatkala Chelsea mempamerkan dominasi di Stamford Bridge.

The Bues mendahului seawal minit ketujuh apabila Nemanja Matic menguis bola daripada sepakan sudut Eden Hazard kepada laluan Diego Costa yang merembat masuk.

David Luiz hampir menggandakan kelebihan buat The Blues apabila sepakan percumanya menggegar tiang sebelum Pedro membuka laluan buat Hazard menjaringkan gol kedua Chelsea.

Kelebihan 2-0 kekal hingga separuh masa pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, Chelsea terus menguasai permainan, namun terpaksa menunggu sehingga minit ke-80 untuk gol ketiga yang disempurnakan Victor Moses selepas gerakan satu-dua bersama pemain gantian Nathaniel Chalobah.

Kekalahan ini menyaksikan skuad Claudio Ranieri kini hanya memungut lapan mata daripada lapan perlawanan pertama mereka -- berkongsi kedudukan kedua dengan jumlah pungutan terendah oleh juara bertahan Liga Perdana Inggeris bersama-sama dengan Chelsea musim lalu.