Legenda Chelsea, Frank Lampard, berkata skuad kendalian Antonio Conte adalah pasukan yang dominan untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

The Blues menduduki takhta liga selepas memenangi 11 perlawanan berturut-turut dan hanya bolos dua kali.

Pemenang EPL tiga kali, Lampard, memberikan pujian di atas usaha Conte yang menerapkan formasi 3-4-3.

Lampard memberitahu Sky Sports: "Saya sangat gembira melihat prestasi Chelsea, pujian harus diberikan kepada setiap individu di dalam pasukan.

"Conte telah mengubah sistem pasukan selepas tewas kepada Arsenal.

"Tiada siapa yang menyangka mereka mampu memenangi liga pada awal musim dan kini mereka dilihat sebagai pasukan yang dominan."

Lampard percaya Diego Costa dan Eden Hazard yang berjaya menemui rentak permainan mereka menjadi kunci The Blues menjarakkan kedudukan dengan pasukan lain.

"Manchester City berada di kedudukan yang kukuh dan mereka adalah pasukan yang berkualiti. Saya juga melihat Liverpool dan Arsenal telah mempertingkatkan permainan mereka berbanding musim lalu.

"Costa berada di tahap yang terbaik musim ini. Saya melihatnya beraksi minggu lalu berdepan West Brom. Ia merupakan perlawanan yang sukar dan dia telah memastikan tiga mata penuh diraih Chelsea."