Manchester United telah melengkapkan proses menandatangani Edinson Cavani sebentar tadi.

Penyerang kebangsaan Uruguay itu, yang menandatangani kontrak setahun dan diberikan pilihan untuk menambah 12 bulan lagi, merupakan pemain dengan status ejen bebas selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) dan akan beraksi buat kali pertama dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Cavani tiba di Old Trafford pada hari terakhir jendela perpindahan dan pemain berusia 33 tahun itu akan menyertai United selepas pasukan berkenaan dibelasah 6-1 di laman sendiri oleh Tottenham Hotspur hujung minggu lalu.

"Manchester United merupakan salah satu kelab terhebat dunia, jadi ia merupakan satu penghormatan untuk berada di sini," kata Cavani dalam laman web rasmi pasukan itu.

"Saya bekerja dengan amat keras sepanjang waktu rehat dan berasa amat bersemangat untuk bersaing dan mewakili kelab yang hebat ini.

"Saya tidak sabar untuk terus menulis kisah saya dalam buku bola sepak dan kerana itu saya tahu fokus saya perlu sentiasa untuk berusaha, berusaha, berusaha.

"Saya sudah berbual dengan pengurus dan ia meningkatkan keinginan saya untuk menyarung jersi yang indah ini," katanya.

Penyerang itu memenangi enam gelaran liga bersama PSG dan merupakan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman kelab itu dengan 200 gol.

Dia memenangi Copa America bersama Uruguay pada 2011 dan telah menemui sasaran sebanyak 50 kali daripada 116 penampilan buat negaranya.

Cavani berpeluang melakukan penampilan pertamanya dalam perlawanan menentang Newcastle United selepas waktu rehat antarabangsa memandangkan Anthony Martial digantung perlawanan gara-gara dilayangkan kad merah ketika menentang Tottenham.