Carrick dialu-alukan sertai staf kejurulatihan United

Oleh Penulis Jemputan 26 November 2017 652
Carrick dialu-alukan sertai staf kejurulatihan United
Jose Mourinho menegaskan pemain tengah, Michael Carrick, akan diberikan pilihan untuk menyertai staf kejurulatihan Manchester United selepas dia mengambil keputusan untuk bersara.

Pemain berusia 36 tahun itu, yang hanya membuat satu penampilan bersama United musim ini, turun beraksi di bahagian tengah ketika meraih kemenangan 4-1 dalam saingan Piala Liga ke atas Burton Albion di Old Trafford, September lalu.

Sejak itu, dia telah menjalani prosedur bagi menyelesaikan masalah degupan jantung tidak sekata dan Mourinho memberikan peluang kepada Carrick untuk menyertai staf kejurulatihan United.

"Carrick adalah seorang pemain yang penting," kata Mourinho. 

"Kami memberikan masa kepadanya untuk berehat, pulih, kembali yakin di atas padang dan membuat keputusan untuk terus bermain atau bersara.

"Dia menyedari staf kejurulatihan saya memiliki kekosongan untuk dirinya. Saya sentiasa menerimanya jika mahu bersama kami," katanya. 

Carrick berhijrah ke Old Trafford dari Tottenham pada Jun 2006 dan telah membuat lebih daripada 300 penampilan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia telah menjulang tiga kejuaraan liga, satu Piala FA dan satu gelaran Liga Juara-Juara (UCL), dengan Mourinho menjelaskan Carrick masih belum bersedia untuk meninggalkan bola sepak.

"Dia mahu beraksi sehingga penghujung musim ini dan mahu mencari keyakinannya selepas kembali menjalani latihan bersama pasukan," tambahnya.

"Carrick akan menambah pilihan pemain dalam skuad ini dan kami amat memerlukan pemain sepertinya."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen