EVERTON 1 MANCHESTER UNITED 3

Bruno Fernandes menganggap adalah menjadi tanggungjawab setiap pemain Manchester United untuk memimpin pasukan selepas mencetuskan inspirasi untuk kemenangan bergaya pasukan itu menjinakkan Everton 3-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).


The Red Devils meredakan sedikit tekanan di bahu pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, di Goodison Park, sebentar tadi untuk memadam kekalahan berturut-turut kepada Arsenal dan Istanbul Basaksehir.

Bernard meletakkan Everton di depan selepas 19 minit permainan tetapi United bertindak balas dengan baik yang menyaksikan pemain Portugis itu menanduk umpanan silang Luke Shaw untuk mengikat kedudukan 1-1.

Fernandes kemudian meletakkan pelawat 2-1 apabila hantaran lintang yang disasarkan kepada Marcus Rashford terus menjunam ke arah tiang gol sebelum bola melantun masuk bagi mengakhiri 20 hantaran yang diaturkan sempena jaringan itu -- gerakan gol terpanjang kedua dalam EPL 2020-21.

United kental bertahan selepas rehat sambil The Toffees, yang mengetengahkan James Rodriguez, gagal melancarkan sebarang percubaan tepat sebaik membuka tirai jaringan sementara Edinson Cavani merakam gol pertamanya dalam jersi juara 20 kali itu selepas menerima lorongan Fernandes dalam serangan balas.




Fernandes mencipta rekod EPL apabila sudah terlibat dalam 15 gol (10 jaringan dan lima bantuan gol) dalam 10 perlawanan terawal.

Dalam 21 penampilan liga secara keseluruhannya sejak dipancing daripada Sporting CP pada Januari lalu, pengatur serangan itu telah menyumbat 13 gol.

Dalam era EPL, hanya Ruud van Nistelrooy, Robin van Persie (kedua-duanya dengan angka 16), Dwight Yorke (15) dan Zlatan Ibrahimovic (14) mencetak lebih banyak gol dalam 21 perlawanan bersama United.

Persembahan dua perlawanan terakhir mengundang kritikan daripada beberapa bekas pemain kelab itu yang menyifatkan skuad ketika ini pincang dalam aspek kepimpinan, tetapi Fernandes sendiri mengatakan bahawa ia terserah kepada setiap anggota pasukan berkenaan untuk menunjukkan kualiti tersebut.

"Kami tahu apa yang harus kami lakukan di dalam bilik persalinan. Dengan pemain yang ada ini, semua orang perlu menjadi pemimpin," katanya kepada BT Sport.

"Sebilangan daripada mereka, saya tidak tahu bagaimana untuk mengatakannya dalam bahasa Inggeris, tetapi seorang (pemimpin yang pendiam), mereka tidak banyak cakap dan mereka akan menunjukkan contoh. Yang lain perlu lebih bersuara untuk lebih beryakinan di dalam permainan sambil cuba menggalas tanggungjawab yang lebih besar.

"Ini bermakna, pada penghujung perlawanan kejayaan memungut tiga mata tetap milik semua orang, bukan sekadar terletak ke atas seorang pemain."

Fernandes dinamakan untuk gol kedua kejayaan itu sungguhpun pada pandangan pertama, Rashford seakan-akan dapat menanduk sepakan silangnya tetapi dia pasti berasa lebih seronok sekiranya rakan sepasukannya tersebut yang menyudahkan peluang berkenaan.

"Saya tidak peduli! Sekiranya Marcus menyentuhnya sedikit, namanya boleh dipahat untuk golnya. Tiada masalah bagi saya," katanya.

"Perkara paling penting sebagai watak nombor 10 adalah mencipta peluang buat rakan sepasukan seperti yang saya lakukan pada akhirnya untuk Edi.

"Saya berpeluang untuk melepaskan tendangan dan mungkin mencari hatrik, tetapi saya melihat Edi meluru bersama-sama dan dia juga berpeluang.

"Sekiranya nama Marcus yang diberikan untuk jaringan kedua itu, ia bukan masalah bagi saya."