BRIGHTON 0 CRYSTAL PALACE 0

Pengurus Brighton and Hove Albion, Chris Hughton, mengakui gagal mempamerkan persembahan terbaik untuk menewaskan Crystal Palace selepas pertemuan buat kali pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 36 tahun lalu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.


Brighton berpeluang untuk meraih kemenangan apabila bekas penyerang Palace, Glenn Murray, melepaskan tandukan yang berjaya ditampan oleh Andros Townsend, sekaligus membenarkan pasukan pelawat membawa pulang satu mata.

Hughton menyifatkan keputusan ini adalah "adil" tetapi ia telah menjadikan tiga perlawanan tanpa kemenangan buat mereka dan bakal menghadapi tugas sukar bertemu Liverpool, hujung minggu ini.

"Kami perlu bertanya adakah kami telah bermain dengan baik untuk menang? Mungkin tidak," kata Hughton.

"Kedua-dua pasukan berada pada tahap yang sama. Ia merupakan keputusan yang adil.

"Kami memiliki peluang yang baik tetapi gagal menyempurnakannya.

"Kedua-dua pasukan cuba bermain dengan berhati-hati dan ia telah merencatkan kelancaran permainan.

"Palace memiliki banyak kelebihan ketika menyerang, kami pula tidak bermain dengan baik dalam perlawanan ini dan ia akan menghukum kami," katanya.

Walaupun berjaya memastikan gawang tidak dibolosi buat kali pertama musim ini, pengendali Palace, Roy Hodgson, berkata jentera serangan yang dibarisi Christian Benteke, Wilfried Zaha dan Andros Townsend sepatutnya mampu memberikan lebih lagi.

Benteke dan Zaha telah memaksa penjaga gol Brighton, Mat Ryan, bekerja keras tetapi gagal mencipta peluang hingga tamat permainan.

"Saya berpuas hati dengan kutipan mata ini kerana ia adalah keputusan yang adil. Ini merupakan perlawanan 'derby' dan kami tidak mahu tewas.

"Kami berasakan Palace bertahan dengan baik. Dengan kualiti yang dimiliki dalam jentera serangan kami, kami seharusnya dapat melakukan lebih lagi, " hujahnya.

Keputusan ini memberikan mata pertama di tempat lawan buat Palace dalam saingan EPL musim ini.