Pengendali Swansea City, Bob Bradley, menafikan dakwaan pemainnya, Ki Sung-Yueng, yang mengatakan kelab itu kini sedang menghadapi krisis.

Swansea hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan sejak Bradley mengambil alih kelab itu bulan lalu dan masih gagal melakar sebarang kemenangan sejak menewaskan Burnley dalam perlawanan pembukaan musim ini.

Bercakap selepas membantu Korea Selatan melakar kemenangan 2-1 ke atas Uzbekistan, Ki berkata dia akan berkerja keras bersama rakan sepasukannya bagi mengatasi krisis dialami.

Namun, kenyataan tersebut tidak diterima baik oleh Bradley ketika sesi sidang media menjelang aksi berdepan Everton esok.

"Itu bukanlah perkataan yang saya akan gunakan.

"Kami sememangnya sedang bergelut ketika ini, jadi apa yang kami perlukan adalah untuk menyuntik kembali keyakinan.

"Tetapi saya tidak akan menggelar senario ini sebagai satu krisis. Pada saya, kami perlu bingkas bangkit selaku sebuah pasukan."

Sementara itu, pertemuan esok akan menyatukan semula bekas kapten, Ashley Williams, yang telah berbakti selama lapan musim bersama kelab di Wales itu sebelum berhijrah ke Goodison Park awal musim ini.

"Saya telah mendengar banyak kisah tentang Ashley dan segalanya sering berkait dengan kualitinya selaku kapten," tambah Bradley.

"Jadi, saya faham apabila kelab ini kehilangan seorang kapten yang baik, kami perlukan masa untuk menyuntik kembali aspek kepimpinan dalam pasukan ini."